Selasa, 24 November 2020

JASNIH LIHAT POLITIK SEBAGAI PLATFORM REALISASIKAN HARAPAN UNTUK KEMAJUAN MASYARAKAT

Tags

  

JASNIH LIHAT POLITIK SEBAGAI PLATFORM REALISASIKAN HARAPAN UNTUK KEMAJUAN MASYARAKAT

 

“Sebagai seorang individu yang datang daripada sebuah keluarga yang hidupnya sangat sederhana, dan berasal daripada komuniti yang secara umumnya masih memerlukan banyak bantuan, saya melihat politik sebagai satu platform untuk kita merealisasikan harapan yang mahu kita bawa untuk kemajuan sosio-ekonomi komuniti kita,” kata YB Jasnih Daya, Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Pantai Dalit, YB Jasnih Haji Daya.

 Sebelum menjadi seorang wakil rakyat, beliau pernah  mengetuai Syarikat  Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah. Ketika bertugas di Bernas, beliau pernah ditugaskan sebagai eksekutif untuk menguruskan dagangan dengan China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan dan kemdian dilantik sebagai eksekutif perniagaan Malaysia Timur. Atas prestasinya yang cemerlang, beliau menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatannya di Bernas. Namun begitu, keinginan untuk berbakti ke masyarakatnya yang masih dahagakan pembangunan, mendorong beliau untuk menceburkan diri dalam politik. Dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 yang lepas, Jasnih memenangi kerusi N.13 Pantai Dalit, sebuah kawasan DUN yang baru diwujudkan. Kini beliau diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah.

 


JASNIH BIN HAJI  DAYA dilahirkan pada 15 September 1974. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK St John  Tuaran pada 1981 hingga 1986 dari darjah satu hingga darjah enam. Beliau kemudian meneruskan pelajaran menengah di SM St John Tuaran sehingga  mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP pada tahun 1989. Beliau kemudian  meneruskan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh Sabah sehingga menamatkan pelajaran SPM 1991.Beliau menduduki peperiksaan STPM pada 1993. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Indiana State University Terre Haute, Indiana Amerika Syarikat pada 1995 hingga 1999 sehingga berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan pengkhususan Sains Ekonomi dan minor dalam Sistem Pengurusan Maklumat.

 Beliau terpilih  menyertai Young Managers Programme 2000 di Ibu Pejabat Bernas di Kuala Lumpur, Eksekutif Import & Dagangan China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan (2000-2002), Eksekutif Sektor Perniagaan Malaysia Timur (Sabah & Sarawak) (2002-2003), Sektor Perniagaan Beras (Rice Business Sector) di Ibu Pejabat Bernas KL, Penolong Pengurus & Ketua Unit Penghantaran dan Tuntutan (2003-2004) , Pegawai Perolehan Myanmar Special Project  (2004-2007) Bernas Special International Project, Pengurus Bahagian Operasi BCSB Sabah (2006-2008), Presiden Bernas Sabah Club (2010-2013) Pengerusi Bukan Eksekutif Sazarice Sdn Bhd & Sabahrice Sdn Bhd pada tahun 2017.Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan  Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (Julai 2015-Julai 2017).

 Antara Anugerah Profesional yang dimenangi ialah Anugerah International Commercial Terms (2003 & 2006) oleh Institusi FMM, Anugerah Shipping & International Trading (2007-2008) oleh Institusi FMM, Anugerah Higher Leadership Programme oleh Heera Training and Management Consultancy 2009, Anugerah Import and Export & Customary Requirement oleh Institusi FMM 210, Anugerah Board of Directorship oleh IBN Malaysia 2013 dan Anugerah Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Kerajaan Negeri Sabah 2016.

 Dalam bidang politik, Jasnih adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran 2019-kini. Sebelum itu beliau pernah jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tuaran 2013-2018, dan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Sabah 2013-2018.

 Jasnih juga pernah menerima pingat kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 2009 oleh Kerajaan Negeri Sabah, Mejar Bersekutu JPAM 2011 oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Outstandng Performance & Achievement 2011 & 2014 oleh Bernas SPP. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Hariani Usman dan dikurniakan lima cahaya mata.

 


Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN  berpeluang mewawancara YB JASNIH HAJI DAYA  melalui aplikasi whatsApp. Dalam wawancara itu, beliau menjawab beberapa pertanyaan mengenai sedikit latar belakang dan pengalaman beliau, apa yang menyebabkan beliau terjun dalam bidang politik dan misi dan visinya untuk DUN Pantai Dalit. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

 UTUSAN BORNEO: Terlebih dahulu kami mengucapkan terima kasih kepada YB kerana sudi di wawancara untuk ruangan SEMBANG SABTU, satu ruangan untuk memberikan peluang kepada personaliti, tokoh-tokoh, pesara guru dan tentera, ketua jabatan dan NGO, kalangan akademik, wakil rakyat dan orang perseorangan yang menempah nama dalam bidang masing-masing.

 YB JASNIH DAYA: Terima kasih atas peluang yang diberikan. Saya sedia menjawab pertanyaan yang dikemukakan, mana yang boleh saya jawab.

 UB:  Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga? Tarikh dan Tempat lahir?

JD:  Lahir pada 15 September 1974 di kampung Mengkabong, Tuaran.

 UB: YB anak ke berapa dalam keluarga? Ayah dan ibu bekerja sebagai apa?

 JD: Saya anak ke 2 daripada 5 adik beradik, empat lelaki satu perempuan.  Ayah saya, Haji Daya bin Sad ,kini seorang pesara, seorang bekas tentera sebelum bertugas sebagai Pegawai Amar Makruf MUIS dan Ketua Anak Negeri Tuaran. Ibu saya , Hajah Tegnah Haji Jeman pula  seorang suri rumah sepenuh masa.

 Ub:    Di mana YB mendapat pendidikan awal? Berapa jarak sekolah dari rumah? Berapa bekal ke sekolah?

JD: Saya bersekolah rendah di SRJK St John, Tuaran. Jarak rumah ke sekolah dalam 5 kilometer. Untuk ke sekolah, saya menaiki kereta pick up dengan sewa RM15 sebulan ulang alik. Kereta pick up ini menjadi pengangkutan awam yang popular terutamanya di Tuaran, Kota Belud dan daerah daerah lain di Sabah. Kalau tanya pasal bekal, setiap hari belanja ke sekolah hanya 50 sen.

 UB: Lepas itu, di mana YB bersekolah di peringkat  menengah?

JD:   Saya meneruskan pelajaran menengah di SM St John dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Setelah mendapat   Keputusan 7 agregat dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya terpilih memasuki Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS), Kota Kinabalu hingga tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 

 UB: Sebaik tamat sekolah  menengah,  dimana YB  melanjutkan pelajaran?

 JD: Selepas mendapat Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM, saya sempat berkhidmat      sebagai seorang Guru Sandaran selama 1 tahun di SMK Arshad Kota Belud sebelum mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Indiana State University, Amerika Syarikat.

 




UB: Apa kenangan pahit manis ketika menuntut di luar negara?

JD: Banyak kenangan manis, apabila berpeluang melawat tempat-tempat ternama dan    bersejarah yang selalu kita tonton didalam rencana TV dan baca di dalam buku-buku sekolah dan majalah. Tetapi yang paling manis ialah berjaya menamatkan pelajaran sambil memenuhi harapan Keluarga menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi daripada Indiana State University.

 UB:  Sekembalinya dari luar negara, dimana YB bekerja?

 JD:  Sekembalinya daripada Luar negara, selepas seminggu berehat saya menghadiri Temuduga “YOUNG MANAGER PROGRAM” dan berjaya serta ditawarkan oleh Syarikat   Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke jawatan Eksekutif Import & Perdagangan di ibu Pejabat Bernas, Kuala Lumpur.


UB: Apa jawatan yang pernah YB pegang sepanjang berkhidmat di Beras

JD: Antaranya Eksekutif Import & Dagangan China, Vietnam, Myanmar, India dan Pakistan (2000-2002), Eksekutif Sektor Perniagaan Malaysia Timur (Sabah & Sarawak) (2002-2003), Sektor Perniagaan Beras (Rice Business Sector) di Ibu Pejabat Bernas KL, Penolong Pengurus & Ketua Unit Penghantaran dan Tuntutan (2003-2004) , Pegawai Perolehan Myanmar Special Project  (2004-2007) Bernas Special International Project, Pengurus Bahagian Operasi BCSB Sabah (2006-2008), Presiden Bernas Sabah Club (2010-2013) Pengerusi Bukan Eksekutif Sazarice Sdn Bhd & Sabahrice Sdn Bhd pada tahun 2017.Selain itu, saya juga pernah menyandang jawatan  Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (Julai 2015-Julai 2017).

 

UB: Bagaimana YB tertarik dengan dunia politik? Apa yang memotivasi YB?

JD:    Saya mula mengikuti perkembangan Politik Malaysia dan cuba memahaminya dengan     lebih dalam semasa belajar di Luar Negara (1995-2000).Ketika itu juga ramai pelajar Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat mengikuti & dan mengambil tahu perjalanan politik negara serta mempunyai perspektif dan pendapat yang berbeza berkenaan isu-isu politik yang berlaku di dalam negara pada Ketika itu.

 

Sebagai seorang individu yang datang daripada sebuah keluarga yang hidupnya sangat sederhana, dan berasal daripada komuniti yang secara umumnya masih memerlukan banyak bantuan, saya melihat politik sebagai satu platform untuk kita merealisasikan harapan yang mahu kita bawa untuk kemajuan sosio-ekonomi komuniti kita.

 

UB: Boleh cerita sedikit pengalaman dalam NGO dan politik?

JD:  Saya juga banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti NGO yang berkait rapat dengan Belia dan sukan serta kebajikan setempat di Sabah. Saya juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kelab kakitangan Bernas Sabah dan masih merupakan ahli kepada beberapa persatuan yang sangat aktif di sekitar sabah.

 

UB: Penglibatan dalam politik?

JD:      Penglibatan politik saya secara aktif bermula pada tahun 2008 sebagai AJK Pemuda UMNO Tuaran sehingga saya memenangi jawatan Ketua pemuda UMNO Bahagian Tuaran pada tahun 2013. Saya dilantik menjadi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tuaran pada tahun 2018.Saya juga pernah menjawat beberapa jawatan seperti Setiausaha Pemuda Barisan Nasional Sabah dan Naib Presden Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia 2013-2018.

 

UB: Oh ya? Apa  petua dan pesan ibu bapa yang masih diingati?         

 JD: Jangan sombong dan hormat orang, terutamanya yang lebih tua dan cium tangan mereka bila bersalaman. (Sekarang tidak boleh sebab SOP tidak membenarkan)

 

UB:  Ketika kecil apa cita cita YB dan kenapa?

 

JD:  Ketika kecil, sebenarnya saya bercita-cita menjadi peguam,sebab saya suka menonton rancangan-rancangan  TV yang berkenaan dengan penyiasatan yang berakhir dan diselesaikan di Mahkamah.

 

UB: Pernah terfikir untuk menjadi wakil rakyat?

JD: Tidak pernah.

 

UB: Siapa yang paling banyak bagi galakan dan dorongan?

 JD:   Ibu Bapa, Isteri & rakan-rakan  rapat.

 

UB: Memandangkan DUN Pantai Dalit ini adalah sebuah kawasan yang baru diwujudkan,Apa misi dan visi membangun N.13 Pantai Dalit?

 

UB: Misi saya sebagai wakil rakyat di DUN Pantai Dalit dalam tempoh 5 tahun ke hadapan ini    adalah untuk memastikan isu-isu yang membelenggu kehidupan seperti Banjir dan masalah   kekurangan kemudahan prasarana dapat diatasi dan dipenuhi.

 

Dalam masa yang sama juga, saya mempunyai cita-cita untuk menjadikan Kawasan ini lebih   berkembang pesat sebagai Hub pelancongan yang sudah berada di peta Dunia untuk    memberi lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi di Kawasan ini.

 Saya juga mempunyai perancangan dalam masa tedekat untuk menjadikan beberapa  

 tempat di Kawasan ini sebagai pusat pengumpulan & perdagangan hasil laut supaya boleh memberi banyak ruang dan peluang untuk penduduk setempat menjana pendapatan.