Rabu, 25 November 2020

LIMA KARYA UTUSAN BORNEO DIPILIH ANTARA PEMENANG HSS 2018/2019

Tags

LIMA KARYA UTUSAN BORNEO DIPILIH ANTARA PEMENANG HSS 2018/2019

‘Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

 Pengumuman keputusan Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2018/2019 dalam sidang media yang diadakan melalui aplikasi Zoom Cloud Meeting oleh Pengarah  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar di ibu negeri pada Khamis mengakhiri debaran dan penantian penulis Sabah yang sudah lama menunggu.



Meskipun tidak banyak yang mengejutkan tetapi HSS tetap memberikan impak dalam usaha memartabatkan sastera Sabah yang perlu dilakukan terus menerus sebagai kayu ukur pencapaian dan peningkatan kualiti karya penulis Sabah.

 Sebanyak 1,081 karya penulis Sabah yang diterbitkan sepanjang tahun  2018/2019 dinilai oleh sembilan orang panel penilai diketuai Dr Lim Swee Tin.

 


Kemenangan Azmah Nordin dalam kategori Novel Dewasa melalui karyanya Gelora Menara terbitan bukanlah suatu yang memeranjatkan. Azmah, penulis yang pernah memenangi SEA Write Award sering mencatat namanya sebagai salah seorang penulis yang paling banyak memenangi HSS sejak mula diperkenalkan.

 


Mungkin yang paling membanggakan ialah kemunculan Norkaidawati Abdul Majid yang memenangi kategori Kumpulan Cerpen melalui buku Debar di Pelantar terbitan DBP pada tahun 2019.

 Norkaidawati, penulis yang dibesarkan di Kampung Sembulan, alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) menulis sejak pertengahan 90-an, pernah bermastautin di Uzbekistan dan Mesir mengikuti suaminya seorang ekspatriat yang bekerja di syarikat minyak.

 Beliau banyak menulis mengenai pengalaman di luar negeri melalui kolum Khabar dari Kaherah yang disiarkan secara mingguan di Utusan Borneo beberapa tahun lalu.

 


Bagi kumpulan puisi, Rita Robert Rawantas, penulis berasal dari Tenom  yang  menulis mengenai  dasar laut hingga puncak gunung itu tampil dengan tema berlainan. Kali ini kumpulan puisinya “Perempuan Pembunuh Sepi” terbitan Nusa Centre terpilih memenangi HSS kategori Kumpulan Puisi.

 Sebelum ini, Rita menang HSS dan kemenangannya kali ini mengabsahkan kedudukannya sebagai salah seorang penyair wanita Sabah yang terbaik.

 


Bagi kategori Novel Remaja, Dayangku Mastura Pengiran Ismail menang melalui novel bertajuk Ayah terbitan Tintarona Publications Sdn Bhd.

 Dayangku Mastura bukan nama yang asing dan sering menempatkan namanya sebagai pemenang HSS.

 


Barangkali salah satu nama baru dalam Hadiah Sastera Sabah ialah Zainab Haji Nawab Khan yang memenangi kategori Novel Kanak-Kanak melalui karyanya Di Telan Hutan Nulu terbitan DBP 2018.

 Zainab, penulis berasal dari Keningau dan kini masih bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia.

 Pemenang bagi kategori Novel Dewasa menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 manakala pemenang bagi kategori buku Kumpulan Cerpen, Kumpulan Puisi, Novel Remaja dan Novel Kanak-kanak menerima RM2,000 bagi seorang pemenang.

 



Sementara itu, dua cerpen yang pernah disiarkan di Utusan Borneo, Si Pemukul Gong Nekara karya Franco Morrow (tersiar 2 September 2018) dan cerpen “ Demi Hak Yang Dinafikan” karya Rodiah Haji Said (tersiar 10 Mac 2019) turut terpilih sebagai antara 10 cerpen terbaik bagi 2018-2019.  Pemenang cerpen layak menerima RM1,000 setiap satu.

 Franco, seorang guru matematik, berasal dari Sarawak tetapi sudah bermastautin di Inanam manakala Rodiah, penulis wanita Beaufort yang paling menyerlah dengan karya-karya menarik.

Pemenang lain ialah Mabulmaddin Shaiddin, penulis dari Kota Belud melalui karyanya Lorong Osmena yang pernah tersiar di Majalah Wadah Mei 2018. Mabulmaddin, biasanya menang kategori puisi, malah pernah menang  di peringkat nasional -Hadiah Sastera Perdana- kali ini mencatat nama sebagai salah seorang cerpenis terbaik HSS.

 Cerpen “Tuwog” karya Dayangku Mastura Pengiran Ismail  yang tersiar dalam Antologi Cerpen Wanita Malaysia, Topi Jelita terbitan Iris Publishings & Distributors 2018 turut terpilih sebagai cerpen yang layak memenangi HSS 2018/2019.

 


Sasterawan Negeri, Datuk Jasni Matlani yang juga pemenang SEA Write Award menang kategori cerpen eceran melalui Bayangan Syurga yang tersiar di Harian Ekspres 11 Mac 2018. Turut menang kategori cerpen ialah Juri Durabi melalui karyanya berjudul Rumah Orang Mati yang tersiar di Harian Ekspres 13 Mei 2018.

 


Penulis dari utara Sabah, Awang Karim Abdul Kadir turut membuktikan kewibawaan dalam bidang cerpen apabila cerpennya Misteri Puru Mondou yang tersiar dalam majalah Wadah Mei 2018 terpilih sebagai pemenang HSS. Awang Karim, salah seorang penulis terbaik sering muncul dengan karya-karya sarat makna walaupun semakin jarang berkarya berbanding dahulu.

 


Dr Raymond Majumah melalui karya “Sehelai Rambut Hitam di Atas Batu Hitam” yang tersiar di Harian Ekspres 25 Ogos 2019 turut terpilih sebagai pemenang HSS bagi kategori cerpen. Dr Raymond atau Azlan Shafie adalah satu nama yang sukar dipisahkan dengan sejarah HSS kerana sering tercatat sebagai pemenang dalam pelbagai kategori.

 


Penulis Kathirina Susanna Tati, dari Penampang turut mencatat nama sebagai pemenang dalam kategori cerpen HSS melalui karyanya Kisah Ibuku dan Tingatonnya yang tersiar dari New Sabah Times pada 23 Disember 2018. Kathirina juga terkenal kerana perjuangannya dalam sastera etnik dan sudah menulis sejak dua dasawarsa yang lepas.

 Salah satu nama baru dalam HSS ialah Raz Rajim Diawa yang menang kategori cerpen melalui karyanya Aroma Payongan yang tersiar di New Sabah Times yang tersiar 27 Januari 2019.

 Bagi kategori puisi eceran yang membawa hadiah RM750 setiap satu, tiga karya yang tersiar di Utusan Borneo terpilih sebagai salah satu dari 10 puisi terbaik sepanjang dua tahun lepas.

 


Penyair Noor Aisyah Maidin menang melalui karyanya  “Pujangga, Secebis Janji” yang tersiar  di Utusan Borneo  pada 31 Mac 2019 . Noor Aisyah yang turut dikenali sebagai pembaca syair adalah seorang guru yang bertugas di salah sebuah sekolah menengah di Sabah selain pernah bertugas sebagai penyiar di RTM Sabah.

 


Seorang lagi penyair, Saibil Madun, menang melalui puisi  “Apabila Saya Telah Mengerti, Ibunda”  yang tersiar di Utusan Borneo pada 2 Disember 2018.. Saibil, berasal dari Kota Marudu, adalah seorang penyair yang sudah lama menempatkan diri sebagai salah seorang penyair terbaik di negeri ini selepas menerbitkan buku puisi Laut Sebuah Ayunan pada penghujung 80-an, sering menang HSS dan  pernah menang Hadiah Sastera Malaysia 1989/1990.

 Bagaimanapun, penyair dari Utara Sabah jarang berkarya, mungkin kerana terlalu selektif dalam penghasilan karyanya.

 


Turut menang kategori puisi ialah Juri Durabi, berasal dari Kusilad Pitas, melalui karyanya ““Cahaya dan Suara suara Kebenaran” yang tersiar di Utusan Borneo pada 18 Ogos 2019.

Agak istimewa ialah kemenangan pasangan suami isteri, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Haji Usin dan isteri tercinta, Hajah Sahara Jais.

 Hasyuda Abadi, mantan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan kini ketua penasihat IPS menang melalui karya  Tanpa Catatan Penghormatan  (kepada Tun

Mamad)” yang tersiar di New Sabah Times pada 21 Januari 2018. Hasyuda juga adalah salah nama paling konsisten yang sering menang HSS sejak hadiah berprestij itu diperkenalkan.

 







Sementara itu, Hajah Sahara Jais, yang lebih dikenali sebagai penyair wanita Islam Sabah menang melalui puisi “Basirah Pergunungan”  yang disiarkan dalam antologi

Gema Nabalu terbitan DBP 2018. Sahara yang juga AJK IPS juga sering menang HSS dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2015/2016.

 Kewibawaan Datuk Jasni Matlani, yang juga Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dalam bidang puisi tidak perlu diragukan lagi. Sejak HSS diperkenalkan namanya tidak pernah tertinggal sebagai seorang pemenang. Kali ini beliau menang melalu puisi Taman Permainan Kita yang tersiar di Majalah Wadah DBP Mei 2018.

 


Yatim Ahmad dari Kota Kinabalu sekali lagi tersenarai sebagai pemenang kategori puisi melalui puisi Serenade Hujan, salah satu puisi yang diterbitkan dalam antologi Dari Hujan ke  Hujan  terbitan Persatuan  Penulis Alam  Maya Malaysia  tahun 2019.



 Puisi Lelaki Yang Melompat Setiap Hari Ke Langit karya Nasiruddin Hassan yang tersiar di New Sabah Times pada 25 Mac 2018 turut terpilih sebagai salah pemenang HSS.  Nasiruddin berasal dari Keningau dan kini bertugas sebagai seorang guru pernah  mewakili Sabah ke MPR 2013. Penulis ini  pernah memenangi pelbagai hadiah berprestij, antaranya hadiah pertama pertandingan Menulis Puisi Asean, Hadiah Sastera Selangor dan lain-lain.

 




Sementara itu, Sabahuddin Senin, turut menang melalui puisi Kau, Gazelku yang tersiar dalam antologi Kasmaran yang diterbitkan Gaksa Enterprise 2018. Sabahuddin, bukanlah satu nama baru, menulis dan berkarya sejak tahun 70-an, memiliki sejarah tersendiri, pernah melanglang buana hingga Australia dan Kepulauan Solomon, adalah penyair yang sangat peka dalam karyanya.

 


Seorang lagi penyair yang tidak asing lagi di Sabah,Ramlee Jalimin Jainin atau Tinta Dewata, seorang penulis dari Keningau, menang melalui puisi “Mencari Cinta di

Sungai Liwagu” yang tersiar dalam Antologi  Puisi  Dari Hujan ke Hujan  terbitan Persatuan  Penulis Alam  Maya Malaysia 2019. Ramlee adalah pesara guru yang sinonim dengan sastera di pedalaman Sabah.

 Dr Raymond Majumah @ Azlan Shafie terpilih sebagai satu-satunya pemenang kategori Eseo dan Kritikan Sastera melalui artikel bertajuk Sogit dalam Alam

Perkahwinan Kadazan Dusun Murut Rungus  (KDMR/Rumpun Momogun)  dan Kepentingannya kepada Pengamal Adat Masa Kini: Tumpuan Kajian terhadap

Etnik Rungus di Matunggong yang tersiar dalam Kesusasteraan dan

Kebudayaan Borneo 2019. Kategori ini menyediakan hadiah RM1,000.

HSS diwujudkan dengan tujuan memberikan pengiktirafan kepada penulis tempatan yang menghasilkan karya bermutu, mengenal pasti karya-karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan  karya-karya sastera yang bermutu dalam bahasa Melayu khususnya di negeri Sabah.