Friday, December 25, 2020

SIAPA YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH PASTI BERJAYA,KATA CIKGU RAMLEE JALIMIN JAININ

 

SIAPA YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH, PASTI BERJAYA

MAN JADDA WA JADDA , peribahasa Arab yang bermaksud “siapa yang bersungguh-sungguh pasti Berjaya. Walaupun dahulu hanya berbekalkan ubi kayu dan ubi keledek rebus untuk ke sekolah kerana kehidupan yang miskin, tetapi berkat kegigihan dan ketabahan beliau dalam menimba ilmu, Cikgu Ramlee Jalimin Jainin berjaya memperolehi apa yang dicita-citakannya. Beliau pernah melalui pelbagai pengalaman pahit manis sebagai pendidik, akhirnya beliau menjadi seorang tokoh pendidik yang berjaya. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan di Unversiti Malaysia Sabah (UMS), beliau bersara sebagai Guru Besar SK Meninipir pada tahun lalu. Beliau juga dikenali sebagai wartawan, sasterawan dan pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2018/2019 dan menghasilkan lebih 500 karya dalam dalam bentuk eceran dan 300 dalam antologi bersama. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Penulis Sabah sempena Festival Penulis Sabah 2016 dan pernah menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali.

RAMLEE JALIMIN JAININ Dilahirkan pada tahun 1959 Di Kampung Bayangan Keningau.  Memulakan persekolahan rendahnya di GPS Binaong 1965/1966 hingga 1970, berpindah ke SRK Luagan pada Tahun 1970 hingga 1972. Meneruskan sekolah menengah di SMK Gunsanad (Keningau) 1973-1978. Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah Guru Besar  di SK.Meninipir, Keningau . Beliau berkelulusan  Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Pendidikan Dengan Kepujian di Fakulti Pendidikan dan Psikologi Universiti Malaysia Sabah, dan baru menamatkan studinya di peringkat sarjana. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Celestina @Nurateqah Mitoh. Beliau memiliki enam cahayamata.




Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Cikgu Ramlee  Jalimin Jainin mengenai zaman persekolahannya  seterusnya  pengalaman beliau  ketika menjadi guru sehingga bersara. Ikuti petikan wawancara yang dilakukan melalui aplikasi  WhatsApp. Seperti berikut:

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu? Tarikh dan tempat lahir? Anak ke berapa dalam keluarga?

RAMLEE JALIMIN JAININ: Saya dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Bayangan, Keningau. Saya anak pertama daripada tiga adik beradik. Ayah saya Jainin Abdullah  dan ibu saya, Daina Limbongan adalah petani.

UB: Di mana Cikgu memulakan persekolahan?

RJJ:   Saya memulakan persekolahan rendah di GPS Binaong 1965/1966 hingga 1970. Kami tiga adik beradik berbasikal dari Kampung Pamalan ke sekolah. GPS Binaong didirikan di atas tanah milik asal OT Madi Gadau iaitu ayah kepada penulis-wartawan terkemuka Emin Madi. Jarak antara kampung Pamalan dengan tempat saya  bersekolah kira-kira 15 kilometer.  Kemudian  dari tahun 1970 hingga 1972, kami berpindah ke SRK Luagan, kerana sekolah itu terletak lebih dekat dengan Kampung Pamalan.

UB:     Ketika itu orang tua cikgu sudah pindah dari Bayangan ke Pamalan?

RJJ:   Ya.Ketika itu kami sudah bermastautin di Kampung Pamalan. Sebenarnya orang kampung Bayangan asal dari Pamalan.Orang Pamalan juga asal dari Kampung Bayangan.

UB:     Oh ya. Berapa duit bekal ke sekolah ketika itu?

RJJ:   Kami hanya berbekalkan ubi kayu dan ubi keledek rebus. Keluarga kami terlalu miskin. Tiada duit bekal yang diberikan. Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi kami.

UB:     Masih ingat nama-nama guru yang pernah mengajar cikgu?

RJJ:   Antaranya cikgu Azizah Mohammad, Sidi Sukimin, Adin Basinau, GB Ibrahim Yusof, Hamzani Aziz, Odok Bangad, guru Bahasa Inggeris, Aminah Mussaly, Awang Latif, Cikgu Losong, Cikgu Andik, Cikgu George Aloy, Ruslan Ampagang, Ribus Tingadon dan Jinor Tingadon di GPS Binaong. Di SK Luagan pula GB Cikgu Tawik Mansai, GB Haji Kaji Madan manakala guru-guru ialah Aron Warso, Cikgu Johnlee Ensin, Cikgu Asrah, Ckgu Mary Tapoung, Aling Intai, Cikgu Lily Musaly, Cikgu Baihat basi. .

UB:     Di mana cikgu meneruskan persekolahan menengah?

RJJ:   Saya meneruskan sekolah menengah di Government Secondary School (GSS) Bingkor  untuk kelas peralihan atau bridge class. Kemudian saya beralih ke aliran Melayu SMK Gunsanad (Keningau) dari tahun 1973-1978 hingga tamat SPM.

UB:     Siapa rakan-rakan sekolah ketika itu, jika masih ingat?

RJJ:   Nama rakan-rakan sekolah saya termasuklah  Ustaz Haron Saion, Ustaz Azman dan Ustaz (Arwah)Masmin Saniman.

UB:     Selepas lulus SPM, apa langkah cikgu seterusnya?

RJJ:   Saya diterima memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran (sekarang IPG Kent) dari tahun 1980/1981. Antara rakan semaktab saya ialah  Joefry Kudot, Haji Karim Ubah, Haji Hajis Saiffudin, Drs Aslan Muhiddin, Sahari July dan ramai lagi dengan kelas 802

UB:     Sebaik mendapat sijil perguruan, di mana cikgu ditempatkan?

RJJ:   Saya mulanya ditempatkan mengajar  di SRK Simpangan Paitan Beluran. Masa itu sangat sukar untuk ke sana. Kami menempuh perjalanan empat hari menaiki bot besar melalui Selat Sulu. Kami terpaksa bermalam di Pulau Jambongan (Bahanan) kemudian bermalam lagi di SRK Kebulu Paitan, dua malam sebelum sampai ke SRK Paitan. Saya dilantik sebagai Ketua Guru (Guru Besar) paling muda iaitu ketika usia saya 22 tahun.

UB:     Apa pengalaman pahit manis yang dilalui ketika menjadi guru?

RJJ:   Kalau bercakap mengenai pengalaman, banyak juga pengalaman pahit manis  yang saya lalui. Ketika mengajar di Paitan, buat pertama kalinya saya melihat  ombak bergelora menyebabkan bot karam hampir jatuh di laut. Memang merisaukan tetapi sebagai seorang guru, saya harus tabah menjalaninya. Kemudian ada lagi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan iaitu ketika  mengajar di SK.Ulu Mosopoh Nabawan pada tahun  1988. Saya terpaksa berjalan kaki dari dari SK.Pementerian sejauh 20 km untuk sampai ke SK Ulu Mosopoh.

UB:     Apa nama nama sekolah yang menjadi tempat cikgu bertugas?

RJJ:   Selepas mengajar di SRK Simpangan Paitan Beluran, saya ditempatkan di beberapa buah sekolah iaitu di SK Bunga Raya Keningau , kemudian ke SK Merampong lalu ke SK Ulu Mosopoh, Nabawan, selepas itu bertukar di sekolah di St James Apin-apin, Keningau kemudian ke SK Karamatoi dan paling akhir  ialah SK Meninipir sebelum bersara tahun lalu.



UB:     Tentu banyak cabaran ketika menjadi guru? Apa di antaranya?

RJJ:   Ketika bertugas sebagai guru, saya memang biasa menghadapi pelbagai karenah masyarakat setempat. Saya pernah diancam, diugut dan bermacam-macam lagi pengalaman tetapi semuanya ini dapat ditangani dengan baik.




Ketika bertugas sebagai guru besar di Nabawan selama 11 tahun, saya juga menjadi penceramah/jurulatih utama kebangsaan/negeri dan daerah. Mata pelajaran kajian tempatan, Bahasa Melayu, projek RUPEP, Inspire dan mengajar semua mata pelajaran teras.

UB:     Apa cita cita cikgu sewaktu masih kanak kanak? Pernah terfikir menjadi guru?

RJJ:   Sebenarnya Guru bukan cita-cita saya. Semasa  berada di sekolah menengah, saya   terlibat dalam kokurikulum Polis Kadet. Apabila  lulus SPM 1978, saya memohon polis dan ditawarkan Latihan Inspektor percubaan dengan tangga gaji RM395.

UB: Cikgu tolak tawaran jadi inspeKtor?

RJJ:   Arwah ibu melarang saya menjadi polis, alasan ketika itu komunis masih bermaharajalela, ibu lebih suka saya jadi guru. Sebenarnya  sebelum itu, saya  banyak mendapat tawaran kerja, antara pegawai kerani di Bank Bumiputera, Pegawai Kerani di Petronas Labuan. Tetapi semuanya saya terpaksa tolak kerana tidak dapat berjalan jauh kerana kekurangan  wang. Akhirnya saya ditawarkan untuk memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran.

UB: Apa nasihat ibubapa yang masih diingati?

RJJ:  Bapa saya, berpesan  kepada kami. “Kamu mesti belajar, jangan ikut saya tidak pandai baca, biar bapa cari tanah, kamurang pigi sekolah, jangan ikut saya bodoh”. Sementara ibu saya pula berkata,” jangan ikut berkawan kawan-kawan yang suka berpeleseran, pigi sekolahpun jarang, sekolah itu lebih penting”

“Kalau kami sudah mati, sapa jaga kamu, ada pelajaran, ada kerja itulah kehidupan kamu’ , itulah antara pesan yang saya ingat.

UB:     Apa nasihat cikgu kepada generasi baru?

RJJ:   Kepada guru-guru muda, saya nasihatkan mereka jangan  memilih tempat bertugas. Ada di antara guru yang tidak suka bertugas di luar bandar, mereka lebih suka ditempatkan di Bandar. Perkara sebegini jangan berlaku. Guru-guru muda hendaklah menjadi  guru yangg ada integriti yang baik, jangan rosakkan profesion keguruan, ingat anak-anak di luar bandar. Jadilah guru yang ada futuristic.



Kepada generasi muda., jangan  lalai dalam  kehidupan sekarang. Zaman 60 an, 70 an dan 80 an berbeza dengan sekarang..sekarang perlu ada persaingan yang kreatif. Kejarlah pendidikan setinggi mungkin, jika ada pendidikan, barulah kita  boleh tenang dalam kehidupan.

UB:     Oh ya, jangan sampai terlupa. Cikgu juga boleh dikatakan salah seorang sasterawan budayawan Sabah yang terpenting, khususnya di Bahagian Pendalaman Sabah. Boleh cerita pengalaman dalam bidang penulisan?

 

RJJ: Penulisan saya bermula tahun 1978.Mulanya  sekadar menulis dalam lembaran buku, ketika jadi pustakawan kerja mencoret-coret  apa yang boleh ditulis,.saya pada mulanya meminati kewartawanan. Saya banyak mengikuti  kursus, bengkel kewartawanan.  Saya mempunyai sijil kewartawanan secara koresponden dari Pustaka Wilayah KL selama 6 bulan

UB:     Dimana menulis ketika itu?

RJJ:   Saya banyak menulis di semua tabloid terbitan di Malaysia seperti  Bacaria. Saya pegang satu  ruangan khas " Khabar Dari Sabah". Saya menulis dalam Mingguan Islam, Mingguan Perdana: Borneo Buletin, Sabah Times,Utusan Borneo,Daily ekspres,Variapop.Majalah Sarina.DarulArqam.

Selepas itu, barulah saya menceburkan diri dalam bidang  penulisan 1982. Cerpen pertama saya di NST " Di Lembah Sepi"pada tahun 1983 manakala sajak saya yang pertama bertajuk Orang-Orang Kota. Saya banyak mengasah bakat dengan  menghadiri kursus-kursus deskritif dan kreatif anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Sabah Times, serta anjuran diadakan oleh pihak penerbitan akhbar lain.

Saya pernah mengambil cuti tanpa gaji kerana taksubnya kepada penulisan. Lalu menyeberangi lautan Cina Selatan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kewartawanan. Penulis dari Sabah yang pertama menghiasi Majalah tabloid BACARIA selama setahun. Majalah Islam, Mingguan Perdana, Sarina (selama 3 tahun), Sabah Times dan Utusan Borneo.



UB:     Apa nama samaran yang cikgu gunakan?

RJJ:   Saya sering menggunakan nama samaran Ramlee Jalimin Jainin, R.Jalimin Jainin,Tinta Dewata, Tinta Alam dan Suara Alam. Nama sebenranya saya ialah Mabirin@ Ramlee@ Jalimin bin Jainin.

Saya pernah berguru dengan Dino SS, Othman Puteh, SN A Samad Said, Prof Hamdan Adnan, Dr Illias Zaidi, Haji Ismaily Bungsu dan lain-lain lagi.

Saya juga amat  berterima kasih kepada Datuk Jasni Matlani, Presiden Bahasa yang membimbing saya menjadi penulis prolifik, juga Duri Durabi, rakan-rakan Bahasa dan Momogonsia.

Sebenarnya saya pernah mengikuti pembelajaran secara jarak jauh di Universitas Nasional Indonesia dalaam  Jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia  1996/1997 tetapi  tidak diteruskan kerana [U1] masalah peribadi.

Saya juga Pernah mengikuti kursus teater  di bawah bimbingan Pro. Madya Dr. Mohammad Ghouse Nasaruddin  1983/1984 dan di bawah Puan Salbiah Jabrin dan shariff Ismail,dan kejurulatihan tarian dari Badan Budaya Kuala Lumpur 1987.

 

UB:     Kegiatan berpersatuan? Cikgu terlibat juga?

RJJ:   Dalam kegiatan berpersatuan, banyak persatuan yang  ditubuhkan seperti Angkatan Belia Kinabalu Sabah (ABKIS), Badan Bahasa Nabawan/Keningau. Persatuan Wartawan Pedalaman Keningau (IJA). Angkatan Gabungan Penulis-penulis Keningau (Anggerik) . Pengerusi Badan BAHASA Keningau dan AJK Pusat Negeri.

UB: Mungkin ada baiknya juga jika cikgu dapat menyebut karya-karya yang pernah diterbitkan?

RJJ:   Antara karya yang sudah terbit Antologi Cerpen ”Pugai Balabak”, Antologi Puisi 5 Negara,Antologi Puisi Mahua Berbisik, Antologi Puisi Katil 21,Antologi Puisi Solidariti Palestin, Antologi Puisi Hari sastera ke-17  Cerita Sebuah Perjuangan, Antolog Puisi Menata Zaman, Antologi Puisi Bianglala Melukis Syurga (Gapena), Antologi Puisi Kepimpinan Musa Aman dalam puisi, Antologi Puisi Nafas Bumi, Kumpulan Cerpen Cerita  Sebuah Lembah,  Antologi Puisi Rohingya, Antologi Cerpen Mencari 40 Hari, 7 Tahun Mencintaimu, dan ada tiga lagi karya peribadi  sedang dalam proses penerbitan Kumpulan Cerpen Istiqamah, Kumpulan Puisi Gadis-Gadis Kota. Antara karyanya yang tersiar di Jendela Sabah dan Wadah  terbitan DBPCS ruangan Puisi, BAHASAKU MENANGIS dan  BAI’AH BAHASA.

UB: Pernah ikut sayembara?

RJJ: Saya pernah memenangi sayembara Cerpen anjuran Harian Ekspres-BAHASA bertajuk ”Sebuah Sangkar Buat Cikgu Suraini”.   Sayembara YADIM- BAHASA bertajuk ISTIQAMAH, NST- MOMOGUNSIA bertajuk ” Hatinya abadi di Tinauh”, NST- MOMOGUNSIA. Puisi saya bertajuk ”cerita Sebuah Perjuangan Penerima Anugerah Hadiah Sastera Sabah(HSS) 2018/2019 dalam Antologi Puisi Dari Hujan Ke Hujan bertajuk ” Mencari Cinta Di Sungai Liwagu”. Saya juga menerima Tokoh Penulis Sabah 2018 dalam Festival Penulis Sabah

UB: Apa motto cikgu dalam kehidupan?

RJJ: Man Jadda Wa jadda, maksudnya buat kerja sehingga berhasil.


 [U1]

No comments: