Sabtu, 30 Januari 2021

SABAH KAYA ALAM SEMULAJADI DAN BUDAYA PELBAGAI BANGSA

Tags

 

SABAH KAYA ALAM SEMULAJADI DAN BUDAYA  PELBAGAI BANGSA

 Sebelum datang ke Sabah, saya membayangkan  satu negeri yang kaya dengan pemandangan semulajadi dengan elemen pergunungan, pantai dan pulau serta budaya masyarakat yang berbilang bangsa.Bayangan saya adalah tepat, kata Nassarudin B Naina Mohamed, Pengurus Hotel Raia Kota Kinabalu yang kini bertukar ke Kuching Sarawak selepas empat tahun sebagai Pengurus Hotel, Raia Hotel Kota Kinabalu.



Ketika ditanya apakah beliau merasa asing  di Sabah, “Tidak sama sekali, kerana masyarakat yang ramah serta bahasa yang mudah difahami dan hidup hormoni walaupun terdapat lebih 32 suku kaum dan etnik  yang berbeza budaya”

Nassarudin B Naina Mohamed , dilahirkan pada 5 September 1968 di Pulau Pinang.. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah King Edward 2 Taping dan Sekolah Menengah King Edward 7 Taping hingga tamat tingkatan 5. Kemudian beliau mendapat ijazah dalam pengurusan perniagaan melalui PJJ dari salah sebuah universiti tempatan. .Kerjayanya bermula sebagai Banquet Waiter pada 1988 di Hotel Royal Casuarina Ipoh.  Beliau pernah bertugas  menjaga kerabat diraja , Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri dan tetamu kehormat dari luar negera sepanjang kerjayanya dalam bidang perhotelan. Sebelum bertugas di Sabah, beliau adalah Pengurus Besar di sebuah Resort di Pulau Pangkor negeri Perak . Raia Hotel (dulunya Hotel Tabung Haji) sejak Disember 2016 hingga  31 Januari 2021. Kini beliau diberi kepercayaan untuk menerajui sebuah hotel bertaraf antarabangsa di Kuching Sarawak.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau melalui emel. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

 UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan? Anak ke berapa dalam keluarga?Tuan berasal dari mana? Ibu bapa bekerja sebagai apa?

 NASSARUDIN B NAINA MOHAMED:   Anak Sulung dari 7 adik beradik  ,Arwah Ayah , Naina Mohamed bin Shaik Daud adalah  pesara kerajaan yang berkhidmat selama 35 tahun sebagai pembantu Dapur di Asrama King Edward 7 Taiping.Arwah Ibu, Bibi binti Ibrahim  berniaga makanan dalam skala kecil untuk menampung pebelanjaan kami sekeluarga. Saya berasal dari Taiping Perak.Saya mendirikan rumahtangga dengan Jalina binti Mastan pada 2 Julai 1993, dan dikurniakan empat orang anak lelaki dan seorang perempuan akan tetapi Allah SWT menjemput anak perempuan kami pada usia setahun.


 UB:    Di mana tuan mendapat pendidikan rendah dan menengah?

NASSA:       Sekolah Rendah King Edward 2 Taping dan Sekolah Menengah King Edward 7 Taping hingga tamat tingkatan 5.

UB:     Selepas sekolah menengah dimana tuan melanjutkan pelajaran?

NASSA:       Selepas sekolah tamat Tingkatan Lima saya telah mula berkerja dan melanjutkan pelajaran secara Pendidikan Jarak Jauh di sebuah universiti tempatan dan memperolehi Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan.

UB:     Sejak bila tuan menceburi kerjaya dalam bidang perhotelan? Kerja sebagai apa?

NASSA: Saya mula bekerja dalam sektor perhotelan bermula di hotel The Royal Casuarina Ipoh pada tahun 1988 sebagai  Banquet Waiter.



UB:     Di mana tuan mendapat pengalaman dalam perhotelan?

NASSA:       Minat saya pada masakan telah mendorong saya untuk menceburi bidang perhotelan serta sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.





UB:     Mungkin ada pengalaman menarik bekerja dalam bidang perhotelan yang boleh dikongsikan kepada pembaca?

NASSA:       Sebut tentang pengalaman terlalu banyak , Pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah mendapat peluang berkhidmat menjaga kerabat diraja , Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri dan tetamu kehormat dari luar negera.

Melayan tetamu kehormat serta pemimpin dalam dan luar negara membuatkan saya mengenali mereka dari jarak yang lebih dekat. Pengalaman pahit  dan  manis tetap ada pada setiap warga kerja dalam bidang perhotelan, inilah akan menjadi ilmu serta pengajaran yang akan dibawa bersama sepanjang perjalanan kerjaya dalam bidang ini.

UB:     Saya difahamkan tuan memiliki pengalaman melayan VVIP? Jika boleh ceritakan apa perkara yang paling diutamakan? Apa etika yang perlu dijaga?



NASSA: Antara yang perlu dijaga ialah penampilan, sikap dan perilaku, cara berpakaian, .gerak-gerik, cara bertanya dan mematuhi setiap Prosedur operasi standard yang diwartakan oleh pihak pengurusan hotel.



UB:     Sebelum dilantik sebagai pengurus hotel di Raia Hotel , dimana tuan bertugas?

NASSA:       Saya berkhidmat sebagai Pengurus Besar di sebuah Resort negeri Perak

( Pulau Pangkor)



UB:     Sejak bila tuan bertugas di Sabah? Apa event pertama yang tuan kendalikan kalau masih ingat?

NASSA:       Saya mula bertugas di Sabah  pada tahun 2016, bulan Disember. Majlis pertama yang saya kendalikan ialah majlis perkahwinan salah seorang kenamaan yang dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri  Sabah dan beberapa kenamaan yang lain.

UB:     Bagaimana sambutan orang ramai khususnya orang Islam terhadap hotel ini?

NASSA: Pada keseluruhannya, khususnya warga Kota Kinabalu memberi sokongan yang sangat baik , tidak kira agama atau etnik . Kerana Hotel Raia adalah Hotel yang berkonsep Hotel Untuk Semua  (Hotel for All)




UB:     Mungkin tuan boleh jelaskan apa yang menarik mengenai hotel ini?

NASSA: Raia Hotel, Kota Kinabalu  adalah hotel bertaraf 3 bintang terletak di pusat bandar Kota Kinabalu. Hotel ini menawarkan dimensi baru dalam perkhidmatan hospitaliti dan standard kualiti Islam. Perkhidmatan kami yang efisien serta konsisten, dalam suasana keselesaan kediaman bandar dengan kawasan awam yang mesra, restoran inovatif dan bilik tamu yang lengkap, bilik serbaguna dan Ballroom yang sesuai untuk semua  malis seperti perkahwinan , mesyuarat , seminar dan lain lain. Restoran kami menyediakan berbagai jenis juadah , yang paling diminati adalah Nasi Arab yang terkenal di seluruh Negeri Sabah.

UB: Pernahkah tuan berkunjung ke Sabah sebelum bertugas di KK? Apa yang tuan bayangkan mengenai Sabah sebelum datang ke negeri ini?

NASSA: Pernah pada tahun 2014 .Sebelum datang ke Sabah, saya membayangkan  satu negeri yang kaya dengan pemandangan semulajadi dengan elemen pergunungan, pantai dan pulau serta budaya masyarakat yang berbilang bangsa.Bayangan saya adalah tepat.

UB: Apa pengalaman menarik sepanjang berada di Sabah? Apakah merasa asing dengan budaya Sabah? Mungkin Bahasa atau dialek Melayu sabah yang masih diingat?

NASSA: Tidak sama sekali kerana masyarakat yang ramah serta Bahasa yang mudah difahami dan hidup hormoni walaupun terdapat lebih 32 suku kaum dan etnik  yang berbeza budaya .

UB: Apa pandangan tuan mengenai Sabah? Bagaimana tuan melihat perkembangan industri perhotelan di Sabah?

NASSA: Sektor perhotelan  dilihat berupaya melonjak ke arah yang lebih tinggi dengan pelan pembangunan sektor pelancongan yang komprehensif oleh kerajaan Negeri Sabah demi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Industri pelancongan Sabah sangat aktif sebelum ini dengan jumlah kemasukan pelancong yang tinggi, tetapi semuanya terhenti berikutan pandemik Covid-19 awal tahun lalu.Saya berdoa dan berharap sektor ini kembali pulih seperti sedia kala serta boleh memangkin ekonomi tempatan dan memberi peluang perkerjan secara langsung dan tidak langsung.

UB:     Bagaimana hubungan dan kerjasama dengan rakan rakan di Sabah? Apa cabaran yang dihadapi?

NASSA:       Kenalan saya  di negeri Sabah terlalu ramai dan hubungan kami seperti sebuah keluarga yang besar , Kerjasama yang saya dapat sangat luar biasa terutama bila memerlukan sebarang informasi serta panduan.

UB:     Apa perkara yang paling tuan ingat mengenai Sabah?

NASSA: Buat pertama kali berkunjung ke Gunung Kinabalu sangat teruja .



UB:     Sepanjang bertugas di Sabah, apa tempat paling jauh pernah dikunjungi?

NASSA: Hampir 60 % Daerah dapat saya lawati dari Daerah Sipitang hingga ke Kudat . Masih banyak lagi yang perlu di terokai , Insya Allah saya akan susuli pada masa akan dapat sekiranya keadaan Kembali pulih.

UB: Apa prinsip tuan dalam kehidupan?

NASSA:        Bersedia untuk hari esok, Bersyukur. Membina keyakinan , Memaafkan.

UB;     Apa hobi tuan di masa lapang?

NASSA:       Melancong ,Memasak dan mencuba resepi baru.

UB: Mungkin ada nasihat atau pesanan ibu bapa yang masih tuan ingat sampai sekarang?

NASSA: Ibu Bapa saya selalu berpesan , Selalu berbuat baik , Jangan balas keburukan dengan keburukan , Balaslah dengan kebaikan berserta senyuman . Selalu ingat asal  usul,  walau setinggi mana pangkat dan  kekayaan .






UB:     Terima kasih kerana sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi Sembang Sabtu ini.

NASSA: Terima kasih moga bermanfaat.

MOHD KHANAFEH RASHKIN, PELAJARI KESILAPAN UNTUK BANGKIT SEMULA

Tags

 

MOHD KHANAFEH RASHKIN, PELAJARI KESILAPAN UNTUK BANGKIT SEMULA

 

MESKIPUN pernah jatuh teruk selama 10 tahun sehingga hampir kehilangan segala-galanya Mohd Khanafeh Rashkin tidak kehilangan asa. Angkara kesilapan diri, beliau terperosok dalam kancah derita. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit kembali.

 


“Saya menjadi seorang runner penghantaran parcel di sekitar ibu negeri sehingga membuka perniagaan sendiri dalam bidang yang berkaitan,” kata Mohd Khanafeh, 49 tahun.

 “Mulanya memang agak sukar. Saya bersama isteri dan rakan kongsi terpaksa menghantar sendiri parcel yang dikirimkan kepada penerimanya.

 Kira-kira sebulan selepas itu, perniagaan mulai berkembang dan syarikatnya terpaksa mencari pekerja atau istilah dipanggil `runner’.

 



Kini beliau berjaya memberi peluang pekerjaan kepada lebih 30 orang runner. “Mereka berjaya menjana pendapatan sendiri dalam situasi pandemik yang melanda dunia sekarang,” katanya.

 Selepas pandemik Covid-19 menular menyebabkan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bulan Mac, ramai yang kehilangan pekerjaan.  Kehidupan mereka terjejas kerana hilang sumber pendapatan. Mujurlah, ramai yang dapat peluang kerja menjadi runner penghantaran parcel, penghantaran kurier, penghantaran makanan dan sebagainya.

 “Alhamdulillah, sedikit sebanyak syarikat kami dapat membantu membuka ruuang pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan,” kata Mohd Khanafeh yang kini  memiliki syarikat YBe Group yang bergiat dalam pelbagai bidang termasuk penghantaran parcel.



 Sebagai seorang usahawan bumiputera, Mohd Khanafeh melalui YBe Group bergiat sebagai sub agen penghantaran kurier.




 Berkat kegigihan dan ketabahan beliau yang tidak mengenal lelah dan mengaku kalah, Mohd Khanafeh berjaya membuka beberapa jenis perniagaan lain seperti perkhidmatan am dan sebagainya.

 Beliau juga menjadi rakan kongsi dalam perniagaan butik dan perunding perkahwinan. “Kami juga membuka peluang kepada peniaga lain yang berkaitan dengan perunding perkahwinan seperti catering, pengusaha kanopi dan sebagainya.



 

Kini syarikatnya, YBe Group mulai berkembang dengan pelbagai jenis perniagaan. Tiada siapa yang dapat menjangka, seorang  yang dulu pernah terkapar dalam kejatuhan, namun berjaya bangkit semula memajukan diri dan bukan itu satu saja, mampu pula membuka ruang pekerjaan kepada yang lain.

 “Perniagaan yang ditubuhkan juga memberi peluang menjana pendapatan kepada  golongan yang kehilangan pekerjaan,” kata Khanafeh ketika ditemui di sebuah kafe di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

 “Bukan mahu bercerita berkenaan kejayaan sebab saya mengakui ianya masih jauh namun apa yang ditekankan ialah semangat untuk bangkit dari sebuah kejatuhan itu,” katanya.

 Serta bagaimana  kita  mampu memberi manfaat kepada orang lain serta bagaimana untuk kita belajar daripada setiap kesilapan juga kegagalan, kata Khanafeh.

 Walaupun boleh dikatakan sukses dalam usahanya, Mohd Khanafeh tidak melupakan tanggungjawab sosialnya.

Beliau menjadi penasihat serta Pengerusi dua buah NGO yang mefokuskan membantu golongan bekas-bekas penghuni penjara untuk memulakan serta mendapat kehidupan semula.

 Golongan ini sering mendapat label yang kurang elok juga peminggiran  atas sejarah kehidupan mereka.

 “Jika tidak dibantu ianya akan mengembangkan kadar jenayah atas faktor jenayah berulang akibat tiada pergantungan. Saya juga fokus  kepada kempen kesedaran akibat jenayah di dalam masyarakat,” kata Khanafeh.

 “Saya juga melakukan kerja-kerja kebajikan dengan membantu mereka yang memerlukan dengan penglibatan pelbagai pihak serta NGO lain terutama dalam situasi pandemik ini,” jelasnya.

 Selain menjadi seorang usahawan yang berjaya, Khanafeh juga tidak melupakan bakatnya dalam bidang seni.




 

Dalam bidang seni, Khanafeh atau nama glamournya, H.R Nafie @ YBe yang bergabung di bawah jenama YBe Production, adalah seorang Komposer sambilan.

 

Sebagai seorang komposer sambilan, beliau sudah mencipta lebih 130 lagu pelbagai genre(Melayu&etnik tempatan Sabah dengan 54 daripada lagu-lagu ini dirakamkan oleh pelbagai artis. Lagu-lagu ini sering berkumandang di radio.

Kini beliau juga aktif dalam penulisan. Beliau menghasilkan buku motivasi, novel, himpunan cerpen tetapi belum diterbitkan.

 “Salah satu buku yang akan diterbitkan pada tahun ini bertajuk ‘Dunia Disebalik Tembok ’yang juga akan diterbitkan oleh sebuah syarikat ke dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk ‘World Behind The Wall’.

 Ketika ditanya apa yang menjadi pegangan beliau dalam proses perjuangan untuk kembali bangkit semula itu, Khanafeh berkata beliau  sering mengingati dan belajar dari kesilapan.

 “Sentiasa bersangka dan berbuat baik,ikhlaskan hati dan terpenting jaga solat 5 waktu serta sentiasa ingat kepadaNya,” katanya.

 Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga terutama anak-anak(Shasha,Iqa,Ozir,Azmer) yang sentiasa memberi sokongan.Begitu juga kepada adik beradik serta saudara mara yang lain.

 “Kepada Siniah Padasian yang sentiasa menyokong dalam susah dan senang. Juga kepada seorang sahabat yang saya tidak akan lupakan jasanya yang terlalu banyak membantu dalam saat susah iaitu Saudara Alexzandra.

 “Juga kepada teman yang banyak membantu Asri,Musdi,Azral,Ezwan,Samzali,Firdaus serta ramai lagi yang saya tidak dapat sebutkan semuanya,” katanya.

 Ditanya mengenai apa perancangan masa depan. Mohd Khanafeh berkata, beliau ingin mengembangkan perniagaan dengan kepelbagaian operasi yang mampu memberi manfaat kepada orang lain dengan konsep  ‘Perkongsian rezeki’.

 “Saya bertekad untuk lebih aktif dalam perkara-perkara kebajikan yang mampu memberi senyuman kepada lebih ramai orang.

 Selain itu, saya ingin bergerak lebih jauh dalam bidang seni dengan penciptaan lagu-lagu yang berkualiti serta memberikan mesej yang baik kepada pendengar

 “Semoga apa yang diusahakan ini akan berjaya dan sentiasa mendapat sokongan dan peluang daripada semua pihak. Itulah harapan saya,” katanya.

 “Hidup ini harus dilayari dengan baik. Dalam pada ia terisi dengan perkara-perkara bahagia,adakalanya derita itu menjelma atas pelbagai cara. Berhati-hatilah pada setiap kata,langkah dan keputusan.

 

“Niat harus baik. Hati mesti bersih. Berusahalah dapatkan keberkatan dalam apa jua perkara. Carilah rezeki yang halal walau sedikit. Hindari kesilapan dan belajar daripadanya,” katanya.

SHASHA ACA, PENTINGKAN ELEMEN KEJUTAN DALAM PERNAGAAN

Tags

 

SHASHA ACA , PENTINGKAN ELEMEN KEJUTAN DALAM PERNIAGAAN

 

Jika anda ingin memberi kejutan kepada orang tersayang,isteri, suami, ibu, ayah,anak,  kekasih atau anda ingin memberi penghargaan dan apresiasi kepada orang yang pernah berjasa  atau anda ingin mengadakan majlis hari jadi, merancang untuk berbulan madu atau mengadakan ulang tahun perkahwinan, dan sebagainya, anda tidak perlu pergi jauh.

Hubungi Shasha Aca, usahawan yang memiliki lapan tahun pengalaman dalam bidang penghantaran `surprise delivery’. Nama syarikatnya pun diberi nama Surprise Delivery Kota Kinabalu atau SDKK.



Shasha Aca kini adalah antara usahawan bumiputera yang menceburi bidang penghantaran yang mengutamakan elemen kejutan. Tetapi bagaimana Shasha bermula dan mendapat idea  ketika mula-mula menceburi bidang perniagaan itu?

 “Bolehkah hantar kek bersekali dengan bunga?”, Suatu hari di tahun 2013, Shasha menerima mesej  dari seorang ibu dari Adelaide, Australia. Selepas bersalin di sebuah hospital di ibu negeri Sabah, wanita yang berkahwin dengan Orang Putih itu kembali ke Australia.

Namun sang ibu ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada doktor yang merawatnya sepanjang berada di hospital.

Sekadar untuk apresiasi kerana doktor dan jururawat merawatnya dengan baik. Sang Ibu ingin menghantar hadiah kek beserta bunga kepada doktor.

“Ketika itu saya masih ada bakery, membuat kek dan sebagainya.Selepas menerima tempahan itu, saya terilham untuk membuat perniagaan penghantaran hadiah, bukan hadiah sekadar hadiah, tetapi hadiah yang disertai dengan kejutan.

“Kami mementingkan elemen kejutan dalam proses penghantaran hadiah,” katanya. Kami sudah melatih kakitangan kami untuk menjaga kerahsiaan sehingga kiriman yang dihantar itu sampai kepada penerima dengan selamat.




Berbagai pengalaman yang dialami Shasha dan stafnya. Hadiah atau bingkisan atau kiriman yang diberikan tidak diketahui penerima. Memang sengaja dirahsiakan. Tujuannya memang untuk menghadirkan kejutan.

Selepas menghubungi penerima melalui telefon,penerima tidak serta merta percaya.Kadang-kadang mereka sukar diyakinkan. Malah ada yang menyangka pemanggil sekadar `scammer’. Ada yang tidak mahu ambil hadiah kerana dikhuatiri benda berbahaya dan sebagainya. Bermacam-macam kerenah.

Tetapi tidak kurang juga yang menangis terharu dan gembira kerana tiba-tiba menerima hadiah yang tidak disangka-sangka. Perasaan luar biasa itu hanya dapat difahami oleh penerima yang tidak pernah menduga mendapat hadiah kejutan.

“Ada seorang suami yang menghantar hadiah kepada isterinya kerana jauh terpisah. Ada tempahan dari luar Negara untuk dihantar kepada penerima di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

“Ketika musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami banyak mendapat tempahan dari pasangan yang terpaksa berjauhan kerana bekerja dan sebagainya.

“Kadang-kadang kami menjadi agen memujuk laki bini yang merajuk. Kami menghantar pesanan dari seorang pengurus bank yang mahu memujuk isterinya dengan kiriman hadiah yang mengejutkan,” kata Shahsa.



Menurutnya, permintaan untuk penghantaran kiriman itu amat menggalakkan. Malahan ketika pihak lain terpaksa mengurangkan pekerja, SDKK pula mengambil pekerja. Kini stafnya seramai 13 orang dan masih belum dapat menampung permintaan pelanggan.

Ketika ini Shasha memiliki tiga premis, dua di ITCC Penampang dan satu lagi di Megalong Mall, yang meliputi kawasan penghantaran seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Telipok, Putatan, Papar dan sekitarnya.

Dalam sehari, banyak tempahan dan pesanan yang diterima. “Tetapi kami terpaksa menghadkan kepada 30 slot saja untuk memastikan hadiah yang dikirimkan sempat sampai kepada penerima pada waktu yang ditentukan.

Bezanya SDKK dengan `florist’  atau kedai bunga biasa ialah mereka hanya menghantar bunga tetapi kami menghantar bunga dengan  elemen kejutan.

Kami mendapat bunga bungaan dari pembekal tempatan tetapi belon kami beli dari China. Katanya, sambutan terhadap perkhidmatan penghantaran itu amatlah menggalakkan. Selain pelanggan tempatan, SDKK juga pernah menerima pesanan dari Arab Saudi, Singapura, Filipina, Australia dan sebagainya, kata Shasha Aca atau nama sebenarnya Shasha Khanafeh yang terpilih sebaga Ikon Usahawan Muda Sabah tahun 2016.

Biasanya mereka menghantar hadiah kejutan kepada keluarga atau ekspatriat yang berada di Sabah.

Malah pernah juga menerima pesanan dari pelanggan luar Negara untuk membuat gubahan wang RM15,000 untuk dihantar kepada `receiver’nya.  Ada juga pelanggan yang memberikan wang dalam jumlah tertentu untuk dibelikan hadiah harijadi dan sebagainya.




“Mereka memberikan kepercayaan yang tinggi kepada kami. Itu yang perlu kami pertahankan. Kepercayaan itu menjadi asas kepada perniagaan ini.



Ada yang memesan brownies, ada yang memesan barang kemas, ada yang memesan bunga, ada yang memesan kek dan lain-lain lagi “Kami buat berpandukan permintaan pelanggan,” katanya.

“Alhamdulillah, semuanya dapat kami uruskan dengan sempurna,” katanya. Shasha akan memberikan yang terbaik untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan.




Selain penghantaran hadiah kejutan, SDKK juga menyediakan khidmat dekorasi  menghias bilik untuk peristiwa yang berbeza-beza seperti untuk pasangan yang berbulan madu, sambutan ulang tahun perkahwinan , hari jadi dan sebagainya.



“Semuanya dihadirkan sebagai satu kejutan, berdasarkan permintaan pesanan,” katanya kepada Utusan Borneo.

Untuk semua perkhidmatan itu, Shasha menyediakan pakej yang menarik untuk pelanggan, dengan harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang memuaskan.

Shasha, 28,  mula menceburi bidang perniagaan itu sejak tahun 2013. Kini sudah lapan tahun, perniagaannya berkembang dengan baik dan menggalakkan. Suaminya Albahar bin Gulam, menjadi tulang belakang dan memberikan sokongan tidak berbelah bagi demi kemajuan perniagaan isterinya.



Sebelum berjaya, Shasha juga pernah mengalami pengalaman jatuh bangun dalam keusahawanan.

“Saya pernah jual kuih tepi jalan, hanya laku satu ringgit. Tidak ada yang beli. Saya bertahan hanya satu minggu kerana sewa gerai tak dapat dibayar,” katanya. Saya terpaksa ceburi perniagaan lain lagi.

Shasha memulakan perniagaan ketika berusia 18 tahun lagi. Beliau juga pernah menceburi perniagaan roti. Ketika hampir maju,perniagaannya jatuh. Beliau terpaksa menanggung kerugian yang bukan sedikit.

Akhirnya Shasha  beralih ke perniagaan baru. Selepas menerima pesanan kek yang minta dihantar kepada doktor yang baik hati, Shasha memulakan perniagaan ‘surprise delivery’ yang sangat mementingkan elemen kejutan.

Kemudian selepas dimuatnaik di FB, Surprise Delivery KK  #SDKK  menerima permintaan pesanan  bukan saja dari dalam negeri bahkan dari luar negeri.

Setiap kali kita membuat penghantaran hadiah, peristiwa itu dirakam dalam video dan kemudian dimuat naik dalam facebook. Bermula dari sana, SDKK mulai mendapat perhatian dan menerima permintaan untuk penghantaran hadiah untuk dikirimkan kepada penerima.

Beliau terpaksa memgambil lebih ramai pekerja untuk khidmat penghantaran itu agar ia mampu memenuhi permintaan pelanggan.

Selain aktif dalam perniagaan, Shasha juga terlibat dalam program sosial dan amal kebajikan.

“Setiap Jumaat, SDKK menyediakan makanan tapau percuma untuk diagihkan kepada pekerja kedai di ITCC,” kata Shasha menyebut salah satu kegiatan sosial.

Di celah kesibukan itu, Shasha tidak melupakan bakat dan minatnya dalam bidang nyanyian.

Walaupun pernah jatuh dalam perniagaan, tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang sebagai seorang usahawan. Berjuang untuk meneruskan kehidupan yang lebih dan cemerlang.

Berkat kegigihan dan ketabahannya, Shasha berjaya menggapai cita-cita dan impiannya. Selain itu, melalui SDDK, Shasha membuka peluang pekerjaan terutamanya golongan yang terjejas dan kehilangan pekerjaan akibat pandemic Covod-19.

Kini Shasha mampu tersenyum dan memberi senyuman kepada kakitangannya. Shasha juga mampu membuat penerima perkhidmatannya tersenyum dan bahagia kerana berpuashati dengan perkhidmatan penghantaran `kejutan’ itu.

Elemen kejutan, jika diuruskan dengan baik, rupa-rupanya boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan.

SHAMSHURI, HARUMKAN NAMA JABATAN MELALUI BOLA TAMPAR

Tags

 

SHAMSHURI, HARUMKAN NAMA JABATAN MELALUI BOLA TAMPAR

PEREJAM (spiker) yang baikpun tidak dapat mematikan bola tanpa pengumpan (Set upper) yang baik. Dalam sesuatu permainan, kemahiran seorang pengumpan mampu memberi peluang kepada rakan sepasukannya membuat rejaman. Umpanan dilakukan apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Bola tampar bukan saja memerlukan kemahiran malah ketepatan masa. Sama ada anda seorang server, spiker, set upper, blocker atau libero, semuanya memiliki peranan penting dalam pasukan untuk memenangi sesuatu permainan. Bagi Shamshuri Almalek yang banyak mengharumkan nama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan  Am Negeri Sabah dalam sukan bola tampar sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. banyak perkara yang boleh dipelajari dalam sukan itu.



Shamshuri bin Almalek lahir pada 23 Februari 1969 di Kampung Teritipan Kota Marudu. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Kota Marudu pada tahun 1976-1981. Selepas menamatkan darjah enam, beliau meneruskan pelajaran menengah di SMK Pekan Kota Marudu dari tahun 1982 hingga 1986. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di First Academy, sebuah sekolah swasta di ibu negeri. Kemudian beliau mengikuti Kursus Asas Perakaunan di Community College Kota Kinabalu tetapi tidak selesai.

Beliau sempat menceburkan diri dalam perniagaan menjual ikan, tetapi tidak berjaya. Beliau mendapat tawaran kerja sebagai Pembantu Luar Skel D28 di Jabatan Kerja Raya pada 18 Januari 1992 dengan kadar gaji RM300 sebulan. Kemudian beliau ditawarkan jawatan Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S7 di  Pejabat Kebajikan Kudat  bermula 13 Jun 1996 hingga tahun  2000. Beliau ditukarkan sebagai Pegawai Kebajikan  Daerah Beluran pada 17 Mac 2000 hingga Oktober 2007. Shamshuri ditugaskan sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Matunggong  bermula Oktober 2006 hingga Februari 2018. Beliau dipindahkan di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya pada Mac 2018 sebelum memutuskan bersara secara pilihan pada 2020. Untuk rekod,beliau pernah menerima  Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah 2014.Shamshuri mendirikan  rumah tangga dengan Sairie @ Rosina binti Adun dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Abdul Alim dan Anita.




Dalam sukan bola tampar, Shamshuri pernah mewakili jabatan dalam kapasiti sebagai pemain, jurulatih dan Ketua Pasukan Bola Tampar Sabah ke Negeri Perak pada tahun 2000 apabila mereka muncul naib johan. Pada tahun 2002, beliau menjadi pemain, ketua pasukan sekaligus jurulatih pasukan Sabah yang menyertai kejohanan di Johor Bahru dan berjaya menjadi johan,  Beliau juga menjadi jurulatih dan pengurus pasukan Sabah menyertai kejohanan peringkat jabatan di Sarawak pada 2004, jurulatih dan pengurus pasukan Sabah ke Negeri Sembilan tahun 2007 sekaligus muncul juara.Pada tahun 2009, beliau menjadi pengurus pasukan Sabah dalam kejohanan di Terengganu dan berjaya mendapat tempat ketiga. Kejayaan lain yang dimilikinya ialah menjadi Pengurus pasukan Sabah pada tahun 2012. Selain itu beliau juga menjadi pengurus pasukan bola tampar Pantai Barat Utara (PBU) yang diadakan di Kota Marudu pada tahun 2017.

Wartawan Utusan Borneo, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Shamshuri Almalek  menyingkap sedikit pengalamannya ketika berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan dan terutamanya minat dan pengalamannya dalam sukan bola tampar dan sentiasa mewakili jabatan dalam kejohanan yang diadakan. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:


 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?

SHAMSHURI ALMALEK (SAM):   Saya dilahirkan pada 23 Februari 1969 di Kampung Teritipan, Tandek Kota Marudu tetapi dibesarkan di Kudat. Saya anak sulung daripada empat adik beradik, seorang lelaki dan tiga perempuan.

UB: Ayah dan ibu kerja sebagai apa?

SAM:  Ayah saya, Al Malek bin Abdul Hamid bertugas sebagai seorang guru. Selepas tamat kursus perguruan di Maktab Kent Tuaran beliau dihantar ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak. Beliau kemudian ditempatkan sebagai Guru Besar di SRK Teritipan Tandek Kota Marudu kira-kira tahun 1966. Selepas itu beliau ditukarkan ke SRK Darau Menggatal Kota Kinabalu dan kemudian ke SMK Kota Marudu sebagai penolong pengetua sehingga tahun 1981. Beliau mengambil keputusan bersara pilihan untu menceburkan diri dalam politik, menjadi calon Bebas tahun 1981 dan calon Usno pada tahun 1985. Sebelum ayah wafat, beliau berkhidmat sebagai  Pegawai UMNO Kimanis. Sebelumnya terlibat sama dalam pergerakan politik ketika Umno mula-mula masuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Ibu saya pula, Radziah Haji Noor Mohammed, seorang surirumah. Sebelum berkahwin, beliau pernah turut serta dalam aktiviti nelayan bersama keluarga angkat di Kampung Teritipan dengan menggunakan kapal nelayan milik atuk iaitu Haji Noor Mohammed, ayahanda ibu yang dipandu oleh ibu sendiri ditemani adik kandungnya Noor Jamnah Haji Noor Mohammed.

Lokasi rumah kami di Kampung Teritipan berada di anak bukit berhadapan dengan pesisir pantai Laut Teluk Marudu.

 

UB:     Di mana tuan mendapatkan pendidikan awal?

SAM:  Saya mula bersekolah di Tadika Lok Yuk Kudat pada tahun 1974. Kemudian saya bersekolah rendah SRK Kota Marudu pada tahun 1975 hingga 1980. Selepas tamat darjah enam, saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Pekan Kota Marudu dari tahun 1981 hingga 1985.       

UB:     Selepas itu, di mana tuan melanjutkan pelajaran?

SAM:  Selepas itu, saya  melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di First Academy, sebuah sekolah swasta di ibu negeri. Kemudian saya  mengikuti Kursus Asas Perakaunan di Community College Kota Kinabalu tetapi tidak selesai kerana tidak dapat menghadiri peperiksaan. Kebetulan masa itu, saya di kampung di Kota Marudu dan tidak dapat ke Kota Kinabalu kerana jalan terputus berikutan banjir.

UB:     Apa yang tuan lakukan selepas itu?

SAM: Saya pernah berniaga menjual ikan untuk dieksport di Johor Bahru. Tetapi kurang berjaya. Selepas itu, saya bekerja sebagai Pembantu Luar Skel D28 di Jabatan Kerja Raya pada 18 Januari 1992 dengan kadar gaji RM300 sebulan.

UB:     Bila tuan mula bertugas di Jabatan Perkhidmatan Masyarakat?

SAM:  Saya mula bekerja di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S7 di  Pejabat Kebajikan Kudat  bermula 13 Jun 1996 hingga tahun  2000.

UB:     Kemudian di mana tuan ditugaskan selepas itu?

SAM: Kemudian saya ditukarkan sebagai Pegawai Kebajikan  Daerah Beluran pada 17 Mac 2000 hingga Oktober 2007. Selepas itu bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Daerah Matunggong  bermula Oktober 2006 hingga Februari 2018. Kemudian saya  dipindahkan di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya pada Mac 2018 sebelum bersara secara pilihan pada 2019.

UB:     Bagaimana mula timbul minat tuan dalam sukan bola tampar??

SHAMSHURI ALMALEK ; Saya minat sukan bola tampar sejak kecil lagi.  Sebenarnya minat saya bermula dalam sukan bola keranjang.Minat ini timbul hasil bimbingan seorang guru, Lim Shu Yang.Beliaulah yang mengajak kami bermain bola keranjang, bola tampar dan sebagainya. Selepas itu, kami berjaya membentuk pasukan bola keranjang. Pasukan pasukan bola keranjang yang pertama dari kalangan bumiputera dibentuk oleh Encik Yunus bin Haji Talib, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Kerani di Pejabat Majlis Daerah Kota Marudu. Biasanya sukan ini kurang diminati tetapi kami berjaya membentuk pasukan bola keranjang bumiputera yang pertama di Kota Marudu.

Ketika duduk di bangku sekolah menengah di SMK Kota Marudu, saya bermain dalam sukan bola keranjang, ping pong dan bola tampar. Kemudian ketika berada dalam tingkatan empat, seorang guru, cikgu Ben atau Cikgu Abu Bakar berasal dari Bongawan mengajak saya menyertai pasukan bola tampar.  Beliau melihat saya sebagai seorang pelajar yang mempunyai ketinggian dan sesuai untuk bermain bola tampar. Dari sanalah minat terhadap sukan bola tampar terus berkembang.

UB:     Tuan juga minat bermain bola keranjang?

SM:    Pada tahun 1985, saya terpilih mewakili Kota Marudu  dalam kejohanan Bola Keranjang Belia Sabah ke-19 di Kudat.



UB:     Baiklah. Kita fokuskan kepada bola tampar. Mungkin ada yang bertanya mengenai sukan ini. Sekadar untuk memberi informasi kepada pembaca?

SAM:  Bola tampar adalah sejenis sukan yang banyak peminatnya. Bahkan sukan ini adalah salah satu acara sukan yang dipertandingkan hingga peringkat sukan olimpik. Ia mula diperkenalkan sebagai sukan berpasukan  dalam sukan Olimpik pada 1957 sebelum  dipertandingkan di Sukan Olimpik ke 18 di Tokyo pada 1964. Kini bola tampar adalah salah satu daripada lima jenis sukan antarabangsa yang terbesar di dunia.

Perlawanan melibatkan dua pasukan yang dipisahkan oleh satu jaring tinggi. Sebiji bola ditampar melangkaui jaring ke pihak lawan. Setiap pasukan mempunyai enam pemain utama, tiga pemain simpanan. Jadi semuanya Sembilan orang pemain. Setiap pasukan dibenarkan memukul bola sebanyak tiga kali berturut turut sebelum dikembalikan kepada pihak lawan. Mata dikira apabila bola jatuh ke gelanggang lawan, atau lawan melakukan kesalahan atau gagal mengembalikan bola dengan betul.



UB:     Biasanya tuan bermain di posisi yang mana?

SAM:  Saya bermain di posisi set upper atau tosser, juga sebagai blocker.

UB:     Apa yang tuan boleh katakana mengenai posisi set upper?

SAM: Spiker atau perejam yang baikpun tidak dapat mematikan bola tanpa set upper atau  pengumpan yang baik. Dalam sesuatu permainan, kemahiran seorang pengumpan mampu memberi peluang kepada rakan sepasukannya membuat rejaman. Umpanan dilakukan apabila kedudukan bola melepasi paras kepala. Bola tampar bukan saja memerlukan kemahiran malah ketepatan masa. Sama ada anda seorang server, spiker, set upper, blocker atau libero, semuanya memiliki peranan penting dalam pasukan untuk memenangi sesuatu permainan.



UB:     Apa kejohanan yang pernah tuan sertai?

SAM: Dalam sukan bola tampar, saya pernah mewakili jabatan dalam kapasiti sebagai pemain, jurulatih dan Ketua Pasukan Bola Tampar Sabah ke Negeri Perak pada tahun 2000 . Kami muncul naib johan. Pada tahun 2003, kami berjaya menjadi johan dalam sukan JKMM yang diadakan di Kompleks Sukan UTM Skudai Johor. Kemudian sebagai jurulatih dan pengurus pasukan Sabah , kami menyertai kejohanan peringkat jabatan di Kuching Sarawak pada 2004. Selepas itu, saya menjadi jurulatih dan pengurus pasukan Sabah ke Negeri Sembilan tahun 2007 sekaligus muncul juara.Pada tahun 2009, saya  menjadi pengurus pasukan Sabah dalam kejohanan di Terengganu dan berjaya mendapat tempat ketiga.







UB:     Bila agaknya bola tampar dimainkan di Malaysia?  Mungkin ada maklumat yang boleh dikongsi? Mengenai sejarah dan sebagainya?

SAM:  Menurut informasi yang kita boleh dapat di internet, bola tampar yang dipelopori oleh William G.Morgan di Holyoke, Massachusetts pada tahun 1895.Sukan bola tampar di Malaysia bermula sekitar tahun 1920-an di Pulau Pinang sebelum ia dipopularkan oleh pelajar-pelajar yang baru pulang daripada Universiti Chi-Nan, Shanghai. Kemudian ia berkembang di Selangor dan negeri-negeri lain.Ia permainan yang amat terkenal bagi golongan lelaki mahupun wanita.

UB:     Selain itu, apa kegiatan tuan yang lain?

SAM:  Antaranya, penasihat pemulihan dalam komuniti Daerah Beluran 2004-2006, Setiausaha Mayang 2006, Komander Briged Kebajikan Perdana tahun2006, AJK Pasukan Pelindung Kanak-Kanak 2004-2006, Penasihat Pemulihan Dalam komuniti  daerah kecil  Matunggong,Penasihat Pusat Aktiviti Warga Emas Matunggong 2006, Penyelaras Pusat Perkembangan kanak-kanak Kudat 2016 2018, AJK Mayang Daerah Kota Marudu 2007-2013 . Saya juga menjadi anggota Rela dari tahun 2006 hingga 2018. Itu antaranya yang saya ingat.

UB:     Mungkin ada lagi yang mahu dinyatakan?

SAM:  Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas segala kerjasama dan komitmen tinggi daripada rakan-rakan seperjuangan di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) semasa sukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) di peringkat Negeri dan Kebangsaan. Ucapan setinggi tinggi penghargaan juga kepada pihak pengurusan JPKAS dengan kerjasama Kelab Maksur kerana begitu memberi kepercayaan kepada saya sebagai juru latih, ketua pasukan bola tampar dimana saya juga salah seorang pemain dalam pasukan.

UB:     Terima kasih banyak atas kerjasama yang diberikan.

SAM: Baik, terima kasih juga.Moga bermanfaat . Moga segala urusan dipermudahkan.

Ahad, 24 Januari 2021

Bertemu Ex Planter yang jadi wakil rakyat dan beberapa catatan pengalaman lain

Tags

 Jam 8.00 pagi, saya sudah berada dalam kereta bersama Tuan Haji Bairullah dalam perjalanan ke Taman Fuliwa untuk mengambil seorang kawannya yang mesra disapa Pengiran sebelum kami ke Jesselton Point. Di sana ada kedai menjual sarapan, dan barangkali kami boleh duduk sebentar di kerusi kosong untuk sesi wawancara.

Sebelum ini kami belum pernah berjumpa. Ini kali pertama. Seperti pucuk dicita ulam yang tiba, saya merasa bersyukur kerana diperkenalkan dengan Pengiran ini oleh Haji Bairullah, yang merupakan sahabat baiknya. Memang saya berhasrat untuk mewawancara wakil wakil rakyat yang baru menang itu untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Saya tidak menyangka pertemuan dengan ADUN Sebatik, YB Hassan Ghani, akan berlaku secepat itu, kerana saya hanya pernah mendengar namanya, berjumpa belum.

Dalam PRU ke14 (2018), beliau hanya kalah sebanyak 193 undi. Tetapi dalam pilihan raya yang baru lalu (2020) beliau menang dengan majoriti 522 undi dalam pertembungan tujuh penjuru.Akhirnya kita menang dalam keadaan kami pembangkang, katanya.

Bekas pengurus ladang ini tidak pernah terfikir untuk menjadi YB. Walaupun pernah bergiat sebagai AJK Pemuda PBS Bahagian Tawau,  kemudian beliau menjadi Ahli cawangan UMNO di Kampung Titingan. Namun kurang aktif sehingga Parti Warisan Sabah ditubuhkan. Beliau akhirnya dipilih menjadi Setiausaha Bahagian Kalabakan.



Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini lahir di Luasong pada 22 Februari 1970.Pendidikan rendahnya diperolehi di SRJK Luasong pada 1977-1982 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Merotai dari tahun 1983-1987. Beliau pernah menduduki A Level tapi tidak dapat meneruskannya. Sebaliknya beliau melanjutkan pengajian Diploma Pentadbiran Awam (DPA) di UiTM Melaka.

Beliau adalah antara lulusan DPA yang bekerja dalam bidang perladangan. Beliau pernah bertugas di Hap Seng, di Ladang Kemabong Bukit Garam, Payamas Sdn Bhd di Beaufort, Merotai Estate sebelum kemudiannya berhenti untuk menjalankan usaha sendiri.

Selepas diberi mandat pada pilihan raya yang lepas, beliau berazam untuk menjadi wakil rakyat bagi semua rakyat di Sebatik. Berusaha menyuarakan permasalahan dan keperluan mereka. Beliau memperjuangkan aspirasi rakyat. Baginya musim berpolitik sudah berlalu, apa yang penting beliau akan membela nasib rakyat Sebatik tanpa mengira parti yang mereka anuti.

Beliau akan menyuarakan aspirasi, keperluan dan masalah rakyat sungguhpun beliau adalah ADUN Warisan yang kini berada di pihak pembangkang.

Namun diluar jangkaan saya, YB Hassan Ghani mengenali hampir semua ahli keluarga isteri saya. Rupanya masih ada pertalian keluarga walaupun mungkin pupu jauh. Menarik kerana beliau masih boleh bercakap dalam bahasa Tidong, Bulungan, Murut Kalabakan dan sebagainya.

Kemudian selepas sesi interview itu, saya minta dihantar ke Raia Hotel kerana sudah berjanji dengan Tuan Haji Samin untuk mewawancara Tuan Nassarudin B Naina Mohamed, pengurus hotel yang akan berpindah ke Kuching. Dapat pula berkenaan dengan Hisham, pengurus baru yang berasal dari Larkin tetapi salah seorang ahli PBS. Mulanya saya kurang faham apa yang dimasukkan dengan PBS itu. Rupanya Persatuan Bini Sabah (PBS). Sebab isterinya orang Pengalat Papar.



Oleh sebab, Tuan Nassa berasal dari Perak, maka banyak lagi topik menarik mengenai Perak. Mengenai nama nama tempat yang unik seperti Dinding, Lumut, Parit, Papan dan sebagainya. Nassa juga banyak pengalaman, pernah bertugas sebagai Butler dan pernah melayan VVIP di dalam dan luar negara termasuk Presiden Robert Mugabe.Banyak kisah pengalaman yang menarik.

Sambil itu, Nasi kambing yang dihidangkan untuk kami itu, rasanya sangat enak. Tetapi makin lama makin banyak cerita menarik namun kami terpaksa berhenti setakat itu saja kerana saya perlu menyiapkan artikel sastera dan budaya Utusan Borneo.

Saya teringat kisah pemimpin luar negara yang suka makan daging buaya dan menjadi menu hariannya setiap hari. Wah.Luar biasa.