Sabtu, 23 Januari 2021

Kita yang muda hari ini, pasti bertambah tua keesokan harinya.

Tags

 Lama tidak mendengar suara abang Onn.Sejak beberapa hari ini asyik teringatkan celotehnya, kata-kata hikmah, pengalaman lama, pandangannya terhadap dunia politik hari ini, ungkapannya yang kadang kjedengaran lucu tetapi menghibur, suaranya yang selalu ceria yang membuat kita tertawa dan sebagainya.

Hari ini mesti telefon abang Onn.Kelmarin tidak dapat telefon kerana akhirnya terleka oleh kesibukan.Seperti beberapa hari lepas juga. Entah mengapa ingatan kepadanya agak begitu kuat. Biasanya dulu, kalau perlukan komen atau sekadar ulasan situasi politik saya selalu menghubunginya atau sebaliknya jika ada perkara yang menggamit untuk diulas, beliau akan segera menghubungi.

Kini kami lama terputus hubungan. Rasanya sejak awal PKP lagi, dimana keadaan tidak mengizinkan untuk berjumpa.

Ketika membuka laptop dan belum sempat lagi menulis sesuatu, saya mendapat telefon dari nombor yang dikenali. Tanpa menaruh curiga, saya segera mengangkatnya.

Rasanya seperti kenal suara yang memanggil walaupun agak berubah. Belum pun sempat bertanya, beliau memperkenalkan dirinya Abang Onn. Abang Onn? Mengapa suara abang jauh berubah?

Rupanya abang Onn sakit. Baru sembuh dari stroke. Kira-kira satu bulan lamanya beliau stroke. Dia bercerita mengenai keadaan kesihatannya dan bahawa walaupun patah sayap terbang jua.

Beliau juga berceerita mengenai biaya rawatan yang agak mahal di hospital. Apatah lagi jika rawatan di hospital swasta. Beliau pernah menyarankan kepada satu tabung dana dibentuk untuk membantu pesakit pesakit miskin dan golongan tua yang kurang berdaya. Setiap syarikat gergasi  digesa menyumbang satu peratus saja dari nilai keuntungan mereka. Kumpulan wang dana yang disatukan inilah yang boleh dibentuk untuk membantu golongan yang bernasib baik dan memerlukan.Beliau pernah memberitahu isterinya, ketika isterinya menjadi Ahli Dewan Negara betapa pentingnya tabung dana dibentuk membantu warga tua. Jangan lupa bahawa ketika kita memperjuangkan nasib warga tua, apa yang kira perjuangkan itu adalah nasib dan masa depan kita sendiri. Kita yang muda hari ini, pasti tua pada hari esok.

Seperti biasa berbicara dengan orang lama seperti beliau, pasti banyak yang kita timba dan pelajari. Beliau kembali bersemangat meskipun fizikalnya masih kurang kuat. Tetapi apabila bercerita mengenai perjuangan, beliau cepat berasa kuat dan bersemangat.

Saya menyarankan beliau banyak minum dalam keadaan seperti sekarang. Menurutnya kini beliau sudah boleh bergerak walaupun masih perlahan.

Patutlah intuisi saya memberi isyarat untuk menghubungi Abang Onn. Rupanya beliau kurang sihat.

Tujuan sebenarnya menelefon itu ialah menyatakan rasa terharu kerana walaupun sudah tiga minggu berlalu, tidak ramai yang mengingati tarikh meninggalnya Tun Mustapha.

Arwah Tun Mustapha, bapa kemerdekaan Sabah kembali ke rahmatullah pada 2 Januari 1995. Beliau lahir di Limauan Kudat pada 31 Julai 1918.

Menurut abang Onn, beliau tidak menghadiri jemputan majlis tahlil di rumah Datuk Amir kerana masa itu masih kurang sihat.

Beliau agak sedih kerana perjuangan Tun Mustapha dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah kurang dikenang oleh  generasi baru. Tanpa perjuangan Tun Mustapha, sejarah yang kita lalui mungkin berlainan arah.Kegigihan dan sumbangan , perjuangan dan peranannya dalam memerdekakan Sabah perlu dikenang dan diketahui generasi muda.

Sepatutnya lebih banyak program dibuat oleh kerajaan hari ini dalam mengenang perjuangan almarhum Tun. Tetapi sesudah tiga minggu berlalu, tidak banyak yang dapat kita harapkan.

Kerana itulah abang Onn bersedih. Kita juga ikut bersedih.