Sabtu, 6 Mac 2021

Pandikar Amin, Semangat Juang Dan Kepimpinan Baru USNO 2021-2024

Tags

KOTA KINABALU: Kalau almarhum Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun masih ada, beliau pasti akan  gembira melihat semangat perjuangannya hidup semula dalam parti USNO atau Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu yang mengadakan Mesyuarat Agung Sesi 2021-2024 di Dewan ITCC, Penampang pada Ahad.

Kebangkitan semangat Usno, sebuah parti yang kecil dan kerdil, seperti yang dikatakan Presidennya yang baru, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, adalah sesuatu yang luar biasa.

Meskipun kalah dalam kesemua kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 yang lalu, tetapi obor semangat juang di kalangan ahli dan penyokongnya masih tetap menyala.

Pandikar Amin memulakan kerjaya politiknya dalam Usno dengan kekalahan sebagai calon Parlimen di Kota  Belud pada tahun 1982, tetapi pada usia 27 tahun beliau menjadi wakil rakyat Usno bagi DUN Usukan dari tahun 1982 hingga 1985. Beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangn Negeri Sabah dari tahun 1986 hingga 1988 dan menjadi speaker termuda di Komanwel ketika itu.



Beliau juga pernah dilantik sebagai Senator dan kemudian apabila BN mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1994, beliau dilantik sebagai salah seorang Jemaah Kabinet Negeri Sabah selepas menang kerusi Tempasuk pada 1994. Pada 1999, beliau sekali lagi dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga 2002. Selepas PRU ke12, beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat selama dua penggal hingga 2018.

Kerjaya politiknya penuh warna dan menggelora. Beliau mengasaskan Parti Bersih, turut mengasaskan dan kemudian Parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR), pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu tetapi melepaskan jawatan selepas terpilih sebagai Speaker Parlimen.

Agak mengejutkan apabila beliau kembali menerajui USNO dalam PRN ke-16 hanya beberapa hari selepas dilantik sebagai Ketua Umum namun partinya tidak berjaya memperolehi sebarang kerusi malah tewas teruk di sebalik kekurangan jentera kempen dan kekangan kewangan yang menyebabkan ‘Rundingan Baru’ yang ditawarkan parti itu tidak sampai kepada rakyat.

Dalam keadaan `cedera parah’ ,dan hentaman kiri kanan itu, semangat juang Usno tetap membara malah semakin giat pula menyusun gerakan dan jentera parti di setiap bahagian.

Daripada 18 bahagian Usno yang diiktiraf ROS, sebelas diantaranya berjaya mengadakan mesyuarat agung bahagian.

Dalam ucapannya, Pandikar Amin berkata, gandingan orang lama, muka baru dan pemimpin pelapis pasti mampu melonjakkan Usno untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau mengajak semua pemimpin dan ahli Usno supaya bermuhasabah dan sentiasa bercermin, dan mengingatkan bahawa perjuangan bukan semata-mata bertujuan menjadi calon sebaliknya jika persefahaman dan penyatuan fikrah serta daya kesabaran dan toleransi yang tinggi, tidak mustahil, kebangkitan Usno akan dapat dijayakan.

Pandikar juga secara terbuka mengajak semua ahli, baik yang lama atau yang baru agar sama-sama memajukan dan berjuang bersama Usno.

Katanya, “politik campur campur yang menang, manakala politik tolak-tolak pasti kalah”.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mantan Presiden Usno, Ibrahim Linggam dan setiausaha Agung Usno, Matbee Haji Ismail dan barisan kepimpinan yang bertungkus lumus menghidupkan nafas Usno dan menunjukkan kesabaran yang luar biasa dalam menghadapi kerenah sepanjang kepimpinannya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemimpin Usno agar menjaga etika dan perlakuan sekiranya permohonan parti itu untuk menjadi anggota GRS diterima.

Pandikar Amin menekankan hala tuju kepimpinan Usno yang baru adalah berteraskan Rundingan Baru yang menjadi Manifesto Parti itu dalam PRN16.

Sementara itu, kepimpinan baru Usno kini diterajui oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebagai Presiden (menang tanpa tanding), Matbee @ Matbeh Haji Ismail  sebagai Timbalan Presiden juga menang tanpa tanding manakala Dato Hamzah Sundang menang Naib Presiden, juga tanpa tanding.

Profesor Dato Dr Ismail Idris dilantik sebagai Naib Presiden manakala Ibrahim Linggam dilantik Setiausaha Agung. Laliman Ahmad dilantik semula sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Ng Chu Hing dilantik semula sebagai Bendahari Agung manakala Adam Chal (mantan calon Usno Karamunting) dilantik Timbalan Bendahari Agung.

Ketua Penerangan Usno diamanahkan kepada Dato Nani Sakam manakala Timbalannya ialah Hisham Ampongou Abdullah.

Jawatan Ketua Pemuda disandang oleh Iskandar Zulkarnain Ramli manakala Siti Khairiah S Mohd (mantan calon Usno Elopura)  dilantik sebagai Ketua Wanita.

Ahli Majlis Tertinggi yang menang tanpa tanding ialah Sazali Justi (mantan calon Usno Melalap), Sallehudin Kasau. K Zulkifli Harrith (mantan calon Usno Sungai Manila), Haji Ahmad Haji Kenajaan,(mantan Calon Usno Bugaya) Daniel Isaac Hoong (mantan calon Usno Likas) dan Hassan Ibrahim (mantan calon Usno Sebatik).

Sementara itu, antara AMT lantikan ialah Mohammad Hamdan Abdullah (mantan calon Usno Silam), Awang Karim Kadir (mantan calon Usno Tanjung kapor), Ricky Sedomon (peguam), Ali Dad Fazal Elahi (mantan calon Usno Lumadan, Shaffic Riasib Shah (mantan calon Usno Tanjung Aru)

Senarai Ketua bahagian yang menang tanpa tanding pula ialah Dato Nani Sakam ( P168 Kota Marudu) Dato Hamzah Sundang (P169 Kota Belud), Liam bin Tawil (P170 Tuaran),Ibrahim Linggam (P171 Sepanggar), Ng Chu Heng (P172 Kota Kinabalu), Sharif Perais Sharif Baba (P173 Putatan), Azmih Junaidi (P175 Papar), Seniati Abd Ghani (P176 Kimanis), Amsir Dani (P177 Beaufort), Ali Dad Fazal Elahi (P178 Sipitang), K.Zulkifli Harrith (P184 Libaran), Haji Ahmad Kenajaan (P189 Semporna), Ismail Idris (P190 Tawau) dan Hassan Ibrahim (P191 Kalabakan).






Seramai 99 perwakilan dan 14 daripada Ahli Majlis Tertinggi menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Sesi 2021-2024 yang diadakan bermula jam 10.00 pagi. Turut hadir dalam majlis itu ialah pemerhati dari bahagian Usno dari seluruh Sabah dengan pematuhan SOP yang ketat.



Dalam majlis perasmian mesyuarat agung Usno yang diadakan pada sebelah pagi, turut hadir wakil-wakil dari komponen parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).






Antaranya ialah  Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Naib Presiden SAPP, Chong Pit Fah,Setiausaha GRS, Razali Haji Razi yang juga Setiausaha PPBM Sabah , Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abd Aziz Zulkarnain, Pesuruhjaya Pas Sabah, Haji Aminuddin Aling da Setiausaha Perhubungan Pas Sabah,YB Dr Aliakbar Gulasan, Timbalan Presiden STAR, Jalumin Bayugoh.