Sabtu, 20 Jun 2009

Mendengar lagu lebih menghiburkan

Tags

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan daripada membincangkan dunia politik yang hiruk pikuk dan sintang perenang, yang dipenuhi pelbagai tipu helah dan ketidakjujuran. Sebilangan orang heboh mengenai kerajaan perpaduan tetapi yang menghairankan hanya setengah pihak saja yang diajak bersatupadu sementara pihak yang lain, biarlah kekal bermusuh.

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan. Bercakap politik sempit , orang lain muak mendengarnya. Saya fikir isu-isu berkaitan kemiskinan, kemunduran, keterbelakangan, penindasan, kekejaman kepada amah misalnya, haruslah melampaui batas politik kepartian, ras, warna kulit dan agama.

Yang miskin perlu dibantu tidak kira apapun fahaman politiknya. Yang mundur, yang terkebelakang perlu dimajukan tidak kira siapa wakil rakyatnya.Yang tertindas perlu dibela, tidak kira siapa dia.

Barangkali mendengar lagu lebih menghiburkan. Saya terhibur dan terbawa ke negeri yang jauh oleh lagu latin yang dinyanyikan Gypsy King. Saya jarang mendengarnya tetapi ketika duduk di cybercafe ini, saya turut menikmatinya. Joni sengaja memainkannya, sudah dua malam.

Kelmarin juga ketika duduk di sini, hati saya terbuai mendengar lagu ini walaupun senikatanya saya kurang mengerti.

Apa tajuk lagu ini, saya bertanya kepada seorang pengunjung yang juga penikmat lagu latin ini. Saya suka. Sama sukanya saya ketika mula-mula mendengar celine dion menyanyi dalam bahasa Perancis, yang juga saya tak mengerti tetapi diterjemahkan sedikit oleh sahabat baik saya, Mohd Nor Azan Abdullah, guru bahasa Perancis di UMS.

Lalu dia berikan saya tajuk-tajuknya. passion, madre mia, un amore, a mi manera, no volvera, love and liberte, duiro saber, mi corazon, caminando por la calle, inspiration, trista pena, mujer, tu duires volber dan habla me.

Kemudian saya terfikir, seberapa jauh bezanya sepak terjang politik kita jika dibandingkan dengan politik di Latin Amerika?