Rabu, 24 Februari 2010

Keunikan sambutan Tahun Baru Cina di Salimpodon Laut Pitas

Tags



















Langit di Kampung Salimpodon Laut Pitas pada malam itu dipenuhi cahaya bunga api. Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga yang dirayakan tujuh hari tujuh malam itu layak dicatat dalam buku Malaysia Book Of Records sebagai salah satu perayaan terpanjang di Malaysia. Uniknya, sambutan yang diadakan sejak berpuluhpuluh tahun yang lalu itu dianjurkan oleh sebuah keluarga Cina, tetapi lebih 90 peratus daripada ahli jawatankuasanya terdiri daripada penduduk berbilang kaum di Pitas.
Hanya terdapat kira-kira 10 keluarga berbangsa cina di Pitas, lebih 100 keluarga pula terdiri daripada keluarga `Cina Kebun' , yang telah berasimiliasi dengan masyarakat tempatan di daerah itu. Tetapi kehadiran lebih 5,000 penduduk di sekitar kampung itu benar-benar membawa makna tersendiri kepada perayaan tahun baru Cina yang kini diiktiraf sebagai satu perayaan yang dirayakan di peringkat daerah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas, Datuk Bolkiah Haji Ismail yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim, Mantan ADUN Pitas, Datuk Masrani Parman yang juga Pengerusi Safoda, Naib Ketua UMNO Bahagian, Harun Durabi, Pengerusi penganjur sambutan di peringkat daerah, Ng Loi Teck dan puluhan lagi tetamu kehormat adalah antara mereka yang menunggu sampai acara majlis penutupan itu berakhir kira-kira jam 11 malam.

Kehadiran yang begitu ramai ternyata memeriahkan lagi majlis sambutan Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga yang dianjurkan sejak zaman mendiang bapanya lagi. Pelbagai acara sambutan diadakan antaranya tarian singa, tarian naga dan persembahan kebudayaan turut diadakan.

Tetapi kemunculan artis-artis seperti Den Bisa, Amie Juba, Clarice John Matha, John Samud dan Jay Samud telah menyerikan lagi majlis yang istimewa dan mungkin satu-satunya di Malaysia itu. Lebih mengejutkan, dan menggegarkan suasana pada malam itu ialah kehadiran penyanyi Adam AF2, yang muncul sebagai hadiah tahun baru kepada Penduduk Kampung Salimpodon Laut.

Ramai yang tidak menyangka kemunculan Adam AF2, yang terbang khas dari Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminatnya dengan lagu Jatuh, Joget lambak dan dua lagu lain, yang telah menjadikan majlis penutupan sambutan tahun baru itu berakhir dengan menggembirakan dan meninggalkan kesan kenangan di hati penduduk Pitas.

Walaupun Pitas terletak jauh di utara Sabah tetapi penduduknya telah menterjemahkan konsep 1 Malaysia itu sejak dahulu lagi. "Perayaan ini amat unik kerana lebih separuh jawatankuasanya terdiri dari bukan orang Cina," kata Datuk Bolkiah. Beliau sendiri, ketika remaja dulu, pernah menjadi ahli jawatankuasa sambutan perayaan itu yang disambut sejak turun temurun," katanya.

"Bertahun-tahun yang lalu, ayah kepada Saudara Ruddy telah menganjurkan Pesta Tahun Baru Cina ini. saya masih ingat, semasa kecil dulu saya pernah menjadi AJK Minuman," katanya sambil mengenang masa lalu.

Katanya, Sabah yang mempunyai kira-kira 35 etnik dan ratusan sub etnik, dan sudah tentu sambutan perayaan yang diadakan itu akan membantu memupuk tali silaturrahim di kalangan rakyat.

Bolkiah juga memberitahu mengenai usaha-usaha dan program kerajaan untuk membawa pembangunan di daerah Pitas. Pitas yang kini jatuh di tempat ketiga dalam senarai daerah termiskin di Malaysia kini perlahan-lahan keluar dari kepompong kemiskinan. Rakyat di Pitas yang sudah lama dahagakan pembangunan infrastruktur, tidak lama lagi akan menikmati pembangunan, termasuk diantara pembinaan saluran paip yang membekalkan air yang dirawat kepada penduduk Pitas.
Daerah Pitas yang kini sudah dinaikkan taraf dan akan mempunyai Majlis Daerahnya yang tersendiri menjelang 1 Mac nanti merupakan satu daerah yang berpotensi untuk membangun. Beberapa batang jalan raya seperti Jalan Malubang, Jalan Salimpodon, Jalan Kusilad dan beberapa batang jalan yang lain yang bakal dijalankan tahun ini merupakan satu rahmat kepada penduduk Pitas.
"Kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat," katanya kepada penduduk yang membanjiri padang Salimpodon laut pada malam itu.
Beliau menggesa masyarakat Pitas supaya terus menjaga keharmonian dan `apa jua fitnah, tohmahan oleh anasir jahat yang cuba memecahbelahkan perpaduan yang sudah sedia terjalin sebegitu lama hendaklah ditentang habis-habisan.
Program pada malam itu dihoskan oleh DJ Rumputt dan DJ PP dari UtaraFM.Net. DJ PP atau Hilmi Desa yang pernah menjadi DJ Di Mutiara FM menyebabkan penduduk Pitas tidak kering gusi dengan celoteh celoteh mereka.
Tidak lupa juga Grup Tari Kreatif yang mempersembahkan tarian pinakang Suku Kaum Kimaragang, Tarian Cina menyerlahkan kepelbagaian. Orang ramai tidak berganjak dari tempat duduk dan tempat mereka berdiri untuk menyaksikan persembahan yang disajikan oleh penyanyi-penyanyi tempatan kesayangan mereka.
Adam AF2 yang dinanti-nantikan tidak menghampakan peminatnya dengan mengajak mereka menyanyi dan menari di Pentas sebelum turun menyalami satu persatu penonton sambil menyanyikan lagu.Walaupun sibuk syuting dengan lakonan dalam Hotel Mania drama 26 episod di TV3 namun Adam tetap memenuhi undangan untuk menyanyi khusus untuk masyarakat Pitas.
Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga, bukan saja sambutan perayaan yang terpanjang dan layak dimasukkan dalam Malaysian Book of Records tetapi juga merupakan satu perayaan yang disambut setiap tahun yang membuktikan keharmonian dan kekukuhan perpaduan di kalangan masyarakat Pitas dalam menjunjung semangat 1Malaysia.
Tersiar dalam Utusan Borneo 24.2.2010