Isnin, 23 April 2018

150 SERTAI PERTEMUAN IRANUN NUSANTARA DI KOTA KINABALU 14 APRIL 2018

Tags

PAGI bersinar dengan lebih terang dengan senyuman di Likas Square pada 14 April lepas. Sejak awal lagi, kira-kira 150 peserta mendaftar untuk mengikuti Seminar Sejarah dan Diaspora Iranun Nusantara 2 yang diadakan Sempena Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) yang berlangsung pada 13 hingga 15 April 2018.
Selain peserta dari Sabah, pertemuan itu juga disertai oleh peserta dari Filipina, Indonesia dan peserta dari Kuching Sarawak. Antara yang hadir ialah rombongan Dewan Adat Kabupaten Tolitoli Sulawesi Tengah, rombongan Keluarga Turunan Iranun Belitong, Provinsi Banga Belitung, Sumatera Selatan, dan rombongan dari Mindanao, Filipina.



Program dimulakan dengan pembentangan Kertas Kerja oleh Dr Jamaluddin Datu Moksan dengan tajuk Hubungan Iranun Dengan Nusantara: Perspektif Wira Alam Melayu dipengerusikan oleh Azimah Athera Jamaluddin.


Selepas itu, majlis diteruskan dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia yang juga  Penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun.

Dalam ucapannya, Pandikar menyentuh pelbagai aspek pensejarahan suku bangsa Iranun di Sabah yang perlu diteliti pengkaji sejarah.
Beliau meminta agar ahli sejarah membuat kajian yang lebih mendalam, tidak menyalin bulat bulat pendapat yang dikemukakan orientalis barat yang pasti mempunyai kepentingan sendiri dalam penulisan mereka.
Beliau menggesa masyarakat Iranun di Malaysia, Indonesia dan Filipina memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk memartabat dan memperkasakan Iranun di Nusantara.
Dalam pertemuan itu juga, Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin juga menganugerahkan Tanjak a Gumbilaan atau Tanjak Pahlawan kepada Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs Haji Ibrahim Saudah sebagai tanda penghormatan daripada BKI kepada tokoh adat itu dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat Iranun dan masyarakat Tolitoli di Sulawesi Tengah.



Sementara itu, Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs H Ibrahim Saudah pula menganugerahkan Sesepuh Pemangku Adat Tolitoli kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada beliau daripada Dewan Adat Tolitoli.



Selesai acara perasmian dan jamuan kudapan, program diteruskan lagi dengan  pembentangan makalah oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli, Sulawesi Tengah, Drs H Ibrahim Saudah dan Naib Canselor Universiti Negeri Mindanao Kampus Marawi, Dr Elin Anisha Guro yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.
Tajuk makalah oleh Dr Anisha ialah “Challenges in the Meranaw Language, Drawing Inspiration from the Iranun in Sabah” manakala Drs H Ibrahim Suadah menyampaikan makalah mengenai sejarah dan budaya Tolitoli.


Sesi sebelah petang dipengerusikan oleh peguam Mohd Salleh Lamsin manakala pembentang makalah ialah Sultan Samporna Sa Masiu, Mohammad T Bano dan Masmujahidah OKK Haji Masrin dengan kertas kerja “Major Achievement of Iranun in Sabah Malaysia” dan Sultan Samporna menyampakan kertas kerja Iranun, the Rising Star of the South East Asia .
Majlis forum yang diadakan selepas itu, sekali lagi menjemput Dr Elin Anisha Guro, Dr Jamaluddin Moksan, Moh Nasir Daeng Marumu, Kepala Dinas pariwisata Tolitoli yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.


Majlis penutupan seminar itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rosmadi Sulai.

Rosmadi mengingatkan masyarakat Iranun agar lebih proaktif dalam mengurus aset dan khazanah warisan Iranun.

Katanya, walaupun aspek sejarah penting tetapi yang lebih penting lagi ialah mengurus aset budaya Iranun demi kepentingan generasi akan datang.
Pada sebelah malamnya, beliau turut meraikan peserta Pertemuan Iranun Nusantara dalam satu majlis makan malam di salah sebuah restoran terkenal di ibu negeri.

Burhanudin Simin, Sayuti Salleh, Datu Rosmadi, Moh Nasir dan Razak Rakunman

Sehari sebelum itu, peserta dari luar negara dibawa melawat Taman Negara Kinabalu, Ladang Tenusu di Kundasang dan, pusat tenunan Iranun di Kampung Rampayan Laut dan kemudian menikmati minuman petang di rumah Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun, OKK Haji Masrin Haji Hassin sebelum menghadiri majlis jamuan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia pada 13 April 2018.
Pada 15 April, delegasi dari Tolitoli Sulawesi Tengah dan Belitong sempat mengadakan kunjungan hormat kepada Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Krishna Djelani. Hadir dalam pertemuan itu ialah Konsul Penerangan dan Sosial KJRI KK, Bapak Cahyono Rustam.
Pertemuan Iranun Nusantara adalah satu peristiwa penting dan bersejarah dalam mempertemukan dan menjalin hubungan lebih erat dalam kalangan masyarakat Iranun yang kini tersebar di Sabah, Mindanao, Bangka Belitong, Jambi, Indragiri Hilir, Riau dan beberapa tempat lain di Indonesia.
Peranan Iranun sebagai wira Samudera sejak zaman bahari seperti yang tercatat dalam sejarah abad ke-18 dan 19 tidak dapat dinafikan lagi.
Kini apa yang lebih penting ialah menjadikan hubungan sejarah dan kerjasama budaya itu bermanfaat demi generasi akan datang.



Datu Rosmadi memperkatakan sesuatu kepada Muh Nasir Dg Marumu


OKK Haji Masrin menyammpaikan cenderamata kepada Dr Elin Anisha

Sidang Media oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia



Sultan Samporna Sa Masiu menyampaikan pandangan beliau


Imam Mohamad Ali Masbod menyampaikan pandangan beliau


Haji Datu Adek Datu Dani mengemukakan pertanyaan