Sabtu, 19 Oktober 2019

MELIHAT MISTERI DI PEMANDIAN AIR DINGIN CIBULAN

Tags
MELIHAT MISTERI DI  PEMANDIAN AIR DINGIN CIBULAN
HAJAT di hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Kata-kata itu ada benarnya jika anda berada di Cirebon dan melihat ke arah Gunung Ceremai, salah satu puncak tertinggi di Jawa Barat, yang kelihatan sangat indah jika dilihat dari Kuningan.
Pagi itu, sebaik melangkah keluar dari Hotel Grage Sangkan, kepenatan hilang serta merta ketika terpandang keindahan gunung yang mengagumkan itu.
Sayang sekali kami bukan dalam misi mendaki. Rombongan Famtrip Wisata Halal Jawa Barat itu sekadar singgah menginap  semalam di Kuningan. Jadual pada hari kedua di Jawa Barat itu adalah melawat Pemandian Air Dingin Cibulan, Muzium Linggarjati, Pesantren dan Istana Cirebon.
Selepas sarapan, kami bergerak ke Pemandian Air Dingin Cibulan, salah satu destinasi pelancongan tertua di Kuningan. Di sana kita boleh melihat Ikan Dewa yang tidak boleh dimakan kerana dianggap suci oleh penduduknya, kata Pak Daniel Nugraha.
Pak Daniel Nugraha, adalah penganjur yang menguruskan perjalanan kami. Kebanyakan peserta adalah dari syarikat atau agen pelancongan, dari Malaysia, Singapura dan India. Sesuai dengan temanya-Wisata Halal Jawa Barat-kami dibawa ke destinasi-destinasi menarik di sekitar Jawa Barat. Salah satunya Pemandian Air Dingin Cibulan.
“Kita boleh mandi bersama ikan-ikan yang agak jinak”. Tak ada satu orang pun yang berani memakan ikan dewa itu, kata Pak Sutandi, pemandu pelancong kami.
Cibulan terletak kira-kira 7 kilometer dari Kuningan. Ketika kami tiba di sana, belum ramai orang, hanya kelihatan seorang guru sedang melatih muridmya berenang.
Objek pelancongan itu dirasmikan pada 27 Ogos 1939 oleh Bupati Kuningan ketika itu, RAA Mohamad Achmad. Pada tahun 1960, sebuah kolam renang dibina di sana dan dibuka kepada orang ramai.
Sejak itu, ikan-ikan dewa (nama saintifiknya Labeobarbus Dournesis) itu hidup bebas tanpa diganggu, apalagi dimakan. Bahkan dulu, ada orang cuba mengambil gambar tetapi ketika diproses, foto itu tidak jadi, hitam semua, kata seorang penjaja makanan di sana.
Rombongan kami agak teruja dengan ikan-ikan yang besar itu. Selepas mengambil gambar  bersama, kami dibawa melawat kawasan yang dulunya menjadi tempat prabu Siliwangi.
Menurut Mitos yang diyakini masyarakat di sana, Ikan Dewa itu adalah perajurit yang membangkang ketika pemerintahan Prabu Siliwangi sehingga mereka dikutuk oleh Prabu Siliwangi hingga menjadi ikan. Dari dulu sampai sekarang, menurut cerita orang di sana,jumlah ikan itu tidak bertambah atau berkurang.
Penduduk sekitar sangat memuliakan ikan-ikan di sana dan kalau ada sesiapa yang berani mengganggu ikan, kononnya mereka akan mendapat musibah dan kemalangan.
Selepas melihat ikan-ikan itu kami dibawa melihat tujuh sumber mata air keramat yang diberi nama Tujuh Sumur. Sumur yang menjadi sumber mata air itu berbentuk kolam kecil  iait Sumur Kejayaan, Sumur Kemulyaan, Sumur Pengabulan, Sumur Ciirancana, Sumur Cisadane,, Sumur Kemudahan dan Sumur Keselamatan. Di salah satu kolam itu, jika bernasib, kita akan dapat melihat ketam emas. Sesiapa yang melihatnya, segala permintaannya akan dikabulkan.
Saya sempat melihat tempat yang dijadikan tempat beristirehat oleh Prabu Siliwangi sekembalinya dari Perang Bubat. Menurut Pak Sutandi, kawasan tujuh sumur itu dikunjungi oleh ramai ketika malam Jumaat Kliwon atau selama bulan Maulud Nabi kerana masyarakat di sana percaya tujuh sumur itu akan membawa keberkatan dimana segala permohonan mereka dikabulkan.
Banyak pohonan yang tinggi dan rendang di sana.Mungkin usianya ratusan tahun dan sudah ada di sana ketika Prabu Siliwangi masih hidup. Kini ia hanya tinggal dalam mitos  masyarakat di Jawa Barat.
Sebelum meninggalkan Wisata Pemandian Cibulan, kami sempat merakamkan gambar, bukti bahawa kami pernah sampai tempat yang penuh legenda itu. Pak Daniel, Ansar  Ahmed dari Grand Holiday Kerala, India, Rezwan dan bang Hisham dari KL, Roslina dari Raffles Holdays Singapura, Madona James dari Exotic Asian Explorer dab Bibie Arzilla dari Fun Holiday sempat bergambar ramai, berswafoto dan sebagainya. Saya hanya sempat bergambar berlatarbelakang pohon rendang yang tidak pasti berapa usianya.
Apa nama spesis ikan dewa itu? Saya masih tertanya-tanya hingga kini. Pelbagai nama ikan melintas dalam kepala Saya belum menemui terjemahan yang tepat dalam bahasa Melayu. Yang jelas di Kuningan, tidak ada yang berani mengganggu  ikan itu kerana dianggap keramat.

Jumaat, 11 Oktober 2019

DI CIREBON, TERINGAT BEBERAPA PERIBAHASA SUNDA

Tags
DI CIREBON, TERINGAT BEBERAPA PERIBAHASA SUNDA
Saya baru saja kembali dari Cirebon untuk memenuhi undangan menghadiri West Java Travel Mart pada 10-12 September, yang dihadiri seluruh penggiat pelancongan dari hampir semua wilayah Indonesia. Turut hadir ialah agen dan wakil syarikat dan agensi pelancongan dari Malaysia, Singapura dan negara-negara Asean dan juga India.

Cirebon adalah sebuah daerah di Jawa Barat. Penduduknya terdiri dari pelbagai suku bangsa dan majoritinya adalah dari suku Sunda dan Jawa.

Ketika singgah di Rumah Makan Klapa Manis, Jalan Raya Cirebon Kuningan Gronggong, melihat pemandangan kota Cirebon dari kejauhan, saya cuba mengingat beberapa peribahasa Sunda yang saya pernah baca.

Peribahasa Sunda itu terkandung dalam buku Peribahasa Nusantara Mata Air Kearifan Bangsa yang disusun dan dikumpulkan oleh Iman Budhi Santosa dan diterbitkan DPP PDI Perjuangan pada tahun 2016.

Kata orang Sunda, `Sadom araning braja, sakunang araning geni.’ Ertinya jarum yang yang kecilpun dapat jadi senjata.sekecil kunang-kunangpun tetaplah api. Apabila setiap masalah dibiarkan begitu saja tanpa diatasi, akhirnya ia dapat membesar dan membawa bencana.

`Selenting bawaning angin, kolepat bawaning kilat’. Tiupan angin sekejap mata terbawa-bawa oleh petir. Informasi atau khabar berita yang belum dapat dipercayai kebenarannya kerana bukti kenyataannya belum diketahui dengan pasti.

Oleh sebab itu, kita harus `Leuleus jeujeur liat tali’. Artinya kita harus banyak pertimbangan, tidak tergesa-gesa dalam mengambil suatu keputusan. Kita harus mempertimbangkan dulu masak-masak apa yang akan dikerjakan  untuk mengelakkan kekeliruan dan kesalahan yang mungkin terjadi.

Ada lagi peribahasa lain mengenai sebelum membuat sesuatu itu mesti menimbangkan terlebih dahulu.

`Landung kandungan laer aisan’. Ertinya memanjang ke bawah kandungan jauh gendongan. Ini gambaran dari sifat orang-orang bijak yang banyak memiliki pertimbangan. Dalam menyelesaikan persoalan tidak menggelabah kerana dalam bertindak selalu mempertimbangkan banyak aspek.

Oleh itu , lebih baik bicaralah apa adanya. `Manan leweh mending waleh’. Daripada susah sendiri, lebih baik bicara apa adanya. Inilah adalah sikap yang baik dan terpuji. Misalnya jika membuat kesalahan, ia tidak ditutupi melainkan diakui dengan terus terang sehingga tidak berpanjangan di kemudian hari.
Kerana itu, jika bersalah lebih baik kita berserah diri.`Nyanggakeun beuheung teukteukuen, suku genteng belokeun.’
Ertinya berserah diri kerana merasa bersalah. Ini wujud dari sikap seorang kesatria dan bertanggungjawab terhadap apa yang diperbuatnya. Walauun perbuatannya salah, tidak perlu ditutup tutupi dan dia sedia menerima hukuman terhadap apa yang diperbuatnya.

Saya hanya membaca dan mengambil iktibar dari peribahasa Sunda itu. Banyak faedahnya. Kebetulan ketika itu saya baru tiba di Cirebon, setelah menempuh perjalanan tiga jam dari Bandung.

Banyak pemandangan alam sekeliling yang amat menarik hati. Saya cuba menelusuri alam fikiran Sunda melalui beberapa peribahasa yang saya baca.

Orang Sunda kaya dengan peribahasa, yang kalau direnung dan difikirkan, apatahlagi kalau diikuti pastilah membawa banyak manfaatnya.

Tetapi saya hanya hingga sebentar. Tiga hari di Cirebon, tidak memadai untuk dapat menghayati kearifan tempatan khususnya melalui peribahasa Sunda.

Saya teringat satu lagi peribahasa. “Cikaracak ninggang batu laun laun jadi legok”. Titis air yang jatuh terus menerus di atas batu, lambat laun akan membuat lubang. Jika kita rajin berlajar, lama-lama kita akan menjadi pintar.

Hatur Nuhun, kata orang Sunda, yang bermakna `terima kasih’ kerana membaca.


SINGGAH DI PASAR APUNG LEMBANG, FLOATING MARKET TERKENAL DI BANDUNG

Tags
SINGGAH DI PASAR APUNG LEMBANG, FLOATING MARKET TERKENAL DI BANDUNG


SEBELUM melanjutkan perjalanan ke Cirebon, kami singgah dulu di Pasar Apung, antara destinasi popular di Lembang, salah satu tempat yang menjadi kebanggaan Bandung.

Kali ini bersama peserta program Famtrip Wisata Halal Jawa Barat, kami diberi peluang untuk berkunjung ke Pasar Apung, yang juga dikenali sebagai floating market.

“Kira-kira satu jam nanti kita bertemu semula di sini,” kata Pak Daniel Nugraha, yang menjadi tuan rumah kami kali ini. Beliau memberi peluang kepada rombongan untuk mengitari kawasan Floating Market itu.

Saya sengaja duduk menghabiskan kopi terlebih dahulu. Sambil itu berkenalan dengan Pak Sutandi, pemandu pelancong kami. Sempat juga kami bercerita mengenai Ridwan Kamil, wali kota yang banyak merubah dan memajukan Bandung.  Mungkin itu sebabnya, beliau berjaya menang pemilihan Gubernur Jawa Barat.

Melalui Pak Ridwan Kamil, Bandung menjadi antara kota terbaik di Indonesia. Malah melalui kepimpinannya Bandung yang juga dikenali sebagai Paris van Java makin terkenal. Banyak kejayaan yang dicatatnya  dan banyak permasalahan kota Bandung yang berjaya ditangani dengan baik.

Dalam rombongan Famtrip kali ini, selain peserta dari Malaysia, Bang Hisham yang banyak pengalaman, Rezwan yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar, seorang peminat buku, Bibie dan Madona dari syarikat pelancongan di Sabah, Ansar Ahmed dari Kerala, India dan Roslina dari Singapura.

Ini kali kedua saya ke Pasar Apung.  Beberapa bulan lepas, saya sempat menyertai rombongan dari Tenom ke tempat ini. Tetapi ketika itu, hari sudah petang dan hujan. Kali ini cuaca lebih baik dan hari masih siang.

Pasar Apung Lembang ini memang sedikit berbeza dengan pasar terapung di Banjarmasin, Kalimantan Selatan atau Chao Phraya di Bangkok. Di Lembang, penjual-penjual makanan menjual dari atas perahu yang tertambat di tepian.

Konsepnya sangat menarik. Pengunjung bebas memilih apa saja jenis makanan yang mereka mahu. Hampr semua jenis makanan dan kuih muih Bandung terdapat di Pasar Apung ini. Malah bukan setakat Bandung, aneka jenis makanan yang popular di Jawa Barat dan Indonesia boleh didapati di Pasar Apung ini. Tetapi sebelum anda membeli, pengunjung perlu membeli koin atau syiling yang boleh digunakan sebagai matawang untuk melakukan transaksi. Belilah syiling yang kira-kira sesuai dengan nilai makanan yang ingin dibeli. Syiling yang dibeli itu perlu dihabiskan. Inilah satu cara untuk melakukan kegiatan jual beli di Pasar Apung.

Tiket masuk sekitar Rp15,000 seorang pada hari biasa tetapi meningkat Rp20,000 seorang setiap hujung minggu.

Setiap hari pengunjung ke Pasar Apung itu dianggarkan kira-kira 3,000 orang. Jumlah kunjungan yang ramai ini pastilah menguntungkan peniaga. Seorang penjual kuih, Sumarni, memberitahu beliau boleh memperoleh pendapatan sekitar Rp1 juta hingga Rp3 juta sehari (RM300 hingga RM1,000)

Kawasan Pasar Apung  ini sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga, menghabiskan cuti hujung minggu, bersantai dan sebagainya.

Pasar Apung atau Floating Market ini dibuka kira-kira enam tahun yang lalu, dan sejak itu tidak pernah sepi dari pengunjung. Apalagi Kota Lembang memiliki keindahan alam dan udara yang segar dan menyejukkan. Pada mulanya ia hanya kawasan pelancongan yang biasa sebelum pemerintah Kota bandung memperbaiki kawasan Pasar Apung dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk mushola atau surau yang besar, tempat wisata kulinari,tempat bermain kanak-kanak dan sebagainya.

Sebelum ini, kawasan pasar apung itu sebenarnya hanya kawasan tasik biasa. Tetapi seorang pengusaha, Perry Tristianto, melahirkan idea untuk membina floating market ini. Beliaulah yang mencipta pasar dan berjaya mengubah kawasan Geger Kalong hingga Lembang dengan pelbagai idea cemerlang. Beliau mendirikan Floatong Market, Farm House, Kampung Bakso, Rumah Sosis, Tahu Susu Lembang dan sebagainya. Beliau ingin menarik pelancong luar negeri untuk berkunjung ke Lembang.

Saya sempat mengunjungi hampir semua premis yang terdapat di Floating Market. Ada kedai cenderamata, ada miniatur keretapi, ada gondola, malah ada restoran, penginapan dan sebagainya. Rakan-rakan entah dimana. Mungkin mereka sudah berada di hadapan. Saya menikmati perjalanan seorang diri, mengambil gambar sana sini, menikmati beberapa jenis makanan Jawa Barat dan sebagainya.

Memang mengasyikkan hingga akhirnya saya mendapati semua orang sudah berada dalam bas.Rupanya saya sudah terlambat dan sedang ditunggu-tunggu.

CATATAN KETIKA TIBA DI BANDUNG, HARI PERTAMA PROGRAM WISATA HALAL JAWA BARAT 9-12 SEPTEMBER

Tags
CATATAN KETIKA TIBA DI BANDUNG, HARI PERTAMA PROGRAM WISATA HALAL JAWA BARAT 9-12 SEPTEMBER

Hari masih terlalu pagi ketika kami tiba di Bandara Husein Sastranegara, lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Kota Bandung. Mengikut jadual pihak penganjur Wisata Halal Jawa Barat akan menyambut ketibaan kami kira-kira jam 12.00 tengahari.

Dalam program Famtrip kali ini, penganjur akan membawa kami mengunjungi tempat-tempat menarik di Bandung dan Cirebon, berkunjung ke makam Sunan Gunung Djati, pesantren, pasar terapung, Istana Kesultanan Cirebon dan kemudoan menghadiri Asita West Java Travel Mart 2019 di Hotel Aston Cirebon.

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen, sambil menunggu bagasi, saya sempat berkenalan dengan beberapa peserta yang menyertai program itu.

Kali ini peserta Famtrip Wisata Halal Jawa Barat ialah Bibie Arzilla dari Fun Holiday Kota Kinabalu, Madona James dari Exotic Asian Explorer (Borneo), Kota Kinabalu, Mohd Hisham Shaharudin (Selangor),Mohd Rezwan Alias (Selangor) Ansar Ahmed dari Grand Holiday Malappuram, Kerala India, Roslina dari Raffles Holidays Singapura.

Rupanya Pak Daniel Nugraha, penganjur dari Exotic Java Trails, satu penerbangan dengan kamu dari Kuala Lumpur. Jadi tidak ada yang perlu dibimbangkan. Kami hanya perlu menunggu rakan lain yang belum tiba.

Pemandu pelancong kami memperkenalkan dirinya sebagai pak Sutandi. “Walaupun nama saya Sutan, saya bukan orang kaya” katanya berjenaka. Beliau mengucapkan selamat datang kepada milyuner atau jutawan baru ke Bandung. Ketika itu, wang satu juta rupiah bersamaan dengan RM295.20.

Wilujeg Ajeng, katanya dalam bahasa Sunda. Jawa Barat adalah yang majoriti penduduknya orang Sunda. Kemudian beliau memperkenalkan pemandu Van bernama Pak Darsono. Mereka inilah yang menjadi rakan kami sepanjang perjalanan ke Bandung dan Cirebon.

Selepas itu, Pak Daniel mengajak kami ke sebuah hotel baru  di Jalan Braga no 10 Bandung. Sebuah hotel yang lumayan cantik , de Braga by artotel.  Kami menikmati pelbagai makanan Sunda di hotel itu. Pengurus Besarnya, Anton Susanto juga turut melayani kami.

“Berapa kali ke Bandung?”

“Ini pertama kali,” kata Mohd Hisham, yang kami panggil Bang Hisham. “Pertama kali untuk bulan  ini, katanya menyambung yang membuat kami tertawa.  Sebagai pemilik syarikat pelancongan, sudah pastilah beliau sering berkunjung ke Indonesia.Beberapa di antara rombongan kami, memang pertama kali ke Bandung dan agak teruja dengan kunjungan itu.

Selepas sarapan, kami berjalan kali melihat bangunan-bangunan lama di Bandung. Kebetulan Museum Asia Afrika tidak dibuka pada hari Isnin, jadi kami hanya mengunjungi jalan raya yang terpanjang di dunia, kata Bang Hisham.

“Terpanjang kerana jalan itu terbentang dari Asia ke Afrika,” katanya. Sebenarnya, jalan yang dimaksudkannnya itu ialah Jalan Asia Afrika yang terkenal di Bandung, dan pernah dilalui oleh pemimpin-pemimpin Asia Afrika yang mengikuti Persidangan Asia Afrika di Bandung pada 1955.

Kami sempat bergambar di hadapan Gedung Merdeka, bangunan bersejarah yang menjadi tempat persidangan negara-negara berkecuali. Gedung Merdeka mempunyai sejarah tersendiri, dibina pada 1895 dan kemudian dibaik pula sepenuhnya pada 1926.Pada zaman pendudukan Jepun, ia dijadikan Pusat Kebudayaan dan dinamakan dai Toa Kaman.Ketika proklamasi kemerdekaan, ia menjadi markas pemuda Indonesia menghadapi tentera Jepun.

Namun pada 1955, Gedung Merdeka dijadikan tempat persidangan Persidangan Asia Afrika Bandung.

Di hadapan bangunan itu, kami mengabadikan gambar kenang-kenangan. Selepas itu, kami sempat berkeliling kota itu sambil menunggu ketibaan peserta dari Singapura. Setelah itu, kami akan singgah ke pasar terapung di Lembang sebelum meneruskan perjalanan ke Grage Sangkan Hotel di Kuningan Cirebon.

Perjalanan agak jauh juga, walaupun jangkaan kami hanya kira-kira tiga jam, namun hakikatnya, kami tiba waktu malam di Kuningan.

Malam itu, memang saya memimpikan untuk bertemu Sunan Gunung Djati, salah seorang wali songo yang terkenal di Cirebon.


CERITA PERTEMUAN DENGAN BANG MAFIRION DI KUNANTI KOPI

Tags
CERITA PERTEMUAN DENGAN BANG MAFIRION DI KUNANTI KOPI



“Api-api terebang malam, inggap di ujung jagung mudo, biar tujuh kali dunia karam, balik ke dusun jugo,” demikian kata orang Jambi. Peribahasa yang bererti kunang-kunang terbang malam, hinggap di ujung jagung muda, biar tujuh kali dunia kiamat, kembali ke kampung halaman juga.

Selepas tiga hari berada di Jambi, akhirnya tibalah masanya kami pulang. Memang, kami sengaja memilih penerbangan awal pagi dari Bandara Sultan Thaha. Cuaca biasanya lebih cerah dan asap masih belum begitu tebal sehingga menyukarkan pesawat terbang di angkasa.

Penerbangan Lion Air JT601 berangkat jam 7.10 pagi dan tiba kira-kira jam 8.25 pagi di Bandara Soekarno Hatta. Kami berharap dapat menyaksikan perayaan Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-74 sewaktu tiba di Jakarta.

Bagaimanapun, kami terpaksa ke Hotel Neo, di Mangga Dua untuk `check in’ terlebih dahulu. Sebahagian anggota rombongan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) yang mengadakan Ziarah Budaya ke Jambi-Tanjung Jabung Timur-Jakarta sudah menempah lebih awal. Oleh sebab, hotel penuh, kami ke Hotel Amaris, yang terletak tidak jauh dari Mangga Dua.

Jam 11.00 pagi, paling lewat kami perlu berangkat ke Bintaro, Jakarta Selatan. Di sana, kami ditunggu oleh H Mafirion Syamsudin, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Temujanji kira-kira jam 12.00. Kami terpaksa berangkat lebih awal khuatir akan terlambat kerana kesesakan lalu lintas di Jakarta.

Bang H Mafirion Syamsudin adalah salah seorang tokoh Melayu Timur dari Riau yang disegani. Beliau pernah bertugas sebagai wartawan ,40 tahun dalam bidang media, empat tahun di Kompas dan tujuh tahun di Jawa Pos.

Kini beliau menjadi ahli parlimen yang banyak memperjuangkan masalah rakyat. Namun kunjungan kami bertujuan untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim antara Iranun dan saudaranya, Melayu Timur di Riau dan Jambi.

Kami sudah berkenalan kira-kira tiga tahun lalu tetapi inilah kali pertama kami bertemu. Terima kasih kepada Bang Kazzaini KS dan Mosthamir Talib, Pak Armawi dan Ujang Zulfiqa, yang memperkenalkan dan menyebut nama Bang Mafirion ketika itu. Alhamdulillah, bang Mafirion memberi respon yang sangat baik, sehingga terasa kami seperi sudah lama berkenalan.

Pertemuan tengahari itu amat mengujakan sekali. Bang Mafirion sudah menunggu ketibaan kami di kedai kopinya, Kunanti Kopi.  Kunanti Kopi yang biasanya dibuka  mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam itu terletak di Jalan Murai Raya, Blok J1 Pesanggrahan, Bintaro Sektor 1 Jakarta Selatan.

Kunanti Kopi memang agak terkenal khususnya kepada penikmat kopi. Di sana, anda boleh menikmati pelbagai jenis kopi.

“Ada kopi gunung halu, gayo goela rempah, ijen, solok, gur gur aek raja,” kata Fitri Asada, yang membantu Bang Mafirion dalam hal kopi.

Bang Mafirion sendiri adalah seorang penikmat kopi. Beliau membuat sendiri kopinya dan mampu bercerita panjang mengenai kopi.

Itu yang menarik. Beliau memberitahu, kopi yang ditanam di atas ketinggian 1,000 meter, biasanya dari jenis kopi Arabica. Manakala ketinggian di bawah 1,000 meter, dari jenis kopi Robusta, Kopi yang tumbuh di lembah atau tanah rendah dari jenis kopi Liberica, katanya kepada Haji Masrin Haji Hassin, ketua rombongan kami dan Saudara Marawan Haji Yassin. Selain itu, antara rombongan yang sempat berkunjung ke Kunanti Kopi ialah Haji Zainal Abidin Ahmad, Ustaz Musli Main, Mabulmaddin Shaiddin, seorang penyair dan dan Dr Datu Masjidin Datu Moksan dan isteri.

Kunanti Kopi juga kini sudah menjadi ahli anggota SCA atau Specialty Cofee Association dan  SCAI, Specialty Cofee Association of Indonesia sejak 2018.

Sebenarnya Kunanti Kopi dibuka pada tahun 2015. Terkenal kerana kopi, Kunanti Kopi juga menyuguhkan kopi dengan aroma klasik. Ada rasa kopi Caramel, Slice of Banana, Jack Fruit, dark chocolate dan medium acidity.

“Itu rasa yang ada  di kopi yang saya seduhkan. Secara alami tanpa tambahan apapun. Kopi gunung Hali mengeluarkan rasa seperti itu, “ kata Fitri, berasal dari Jakarta  yang terjun ke dunia industri kopi sejak 2012.
Kopi termahal paling mahal di dunia sekarang ialah Kopi Geisha. Satu kilo berharga Rp 130 juta (RM38,527 untuk 1 kg).

Dulu kopi termahal Rp 6 juta 1 kilogram iaitu  kopi sisha dari Panama dan Guateamala. Indonesia juga terkenal dengan pelbagai jenis kopi.


Sambil bercerita mengenai Iranun dan Melayu Timur di Indragiri Hilir Riau dan Jambi, kami menikmati rasa kopi yang disediakan oleh Bang Mafirion. Beliau merasa gembira kerana pertemuan itu. Ada beza antara peminum kopi dan penikmat kopi, katanya.

Bagi penikmat kopi, dia datang sendiri mencari kopi yang digemari, katanya.
Banyak yang dibincangkan dalam pertemuan itu. Bagaimana cara dan langkah yang perlu dilakukan dalam mengukuhkan lagi hubungan antara suku Melayu Timur di Indonesia khususnya Riau dan Jambi dengan sukubangsa Iranun, rakan seketurunan  mereka di Sabah, Malaysia. Juga bagaimana mengembangkan hubungan budaya dan meningkatan hubungan ekonomi antara dua bangsa serumpun.

Kemudian beliau meminta Syifa,  stafnya agar menghidangkan Ayam Kunanti, menu terkenal di Kunanti Kopi.

Pertemuan dengan H Mafirion Syamsudin adalah acara terakhir kami di Indonesia sebelum berlepas pulang ke tanahair. Program Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur di Kota Jambi, Tanjung Jabung Timur dan Jakarta pada 14 hingga 17 Ogos 2019, boleh dikatakan berjaya dan mencapai matlamat seperti yang diharapkan.

Perjalanan kami, kata orang Jambi, seperti mengayuh perahu ke hilir.Segalanya dipermudahkan. Cuma setelah sampai ke hilir, akan ke mana pula selepas ini?.






DARI GENTALA ARASY, KE MUZIUM SIGINJEI, MENELUSURI SEJARAH JAMBI

Tags
DARI GENTALA ARASY, KE MUZIUM SIGINJEI, MENELUSURI SEJARAH JAMBI


Kunjungan ke Kota Jambi tidak lengkap tanpa berkunjung ke Gentala Arasy, menara setinggi 80 meter di pinggir Sungai Batanghari. Untuk ke sana, pengunjung perlu berjalan kaki di  jambatan Titian Arasy sepanjang 530 meter, lebar 4.5 meter dengan dua tiang pancang setinggi 60 meter. Mungkin Titian Arasy, satu-satunya jambatan di dunia yang dibuat khas untuk pejalan kaki.

Jambatan yang dibina dalam masa tiga tahun itu, dirasmikan pada 28 Mac 2015 oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla. Kini menjadi ikon Kota Jambi. Itulah sebabnya ia dipilih sebagai lokasi pertama kunjungan kami pada hari terakhir di Jambi.

Rombongan 12 orang peserta Program Ziarah Iranun-Melayu Timur anjuran Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah menyempurnakan misi lawatan ke Tanjung Jabung Timur pada 14 hingga 17 Ogos. Jadi, sebelum meninggalkan  Kota Jambi, kami mengambil peluang untuk berkunjung ke beberapa ikon wisata atau pelancongan di kota itu.

Tetapi yang paling penting ialah berkunjung Ke Gentala Arasy. Mujurlah, kami tiba awal pagi ketika pemandangan masih boleh dinikmati sebelum dilitupi kabut asap tidak berapa lama kemudian.

Selepas melintasi sungai Batanghari,, sungai terpanjang di Sumatera, saya teringat sebuah pantun lama dalam bahasa melayu Jambi. “Batanghari aeknyo tenang,sungguhpun tenang deras ke tepi, Anak Jambi jangan dikenang, Kalo dikenang merusak hati.

Masyarakat Melayu Jambi memang kaya dengan pantun. Membaca pantung mereka, dengan cepat kita dapat melihat ciri-ciri bahasa Melayu Jambi, yang cenderung menggunakan o di hujung pengucapannya.

“Bederai hujan di rimbo, tibo di padi bederai jangan, becerai kito di muko, namun di hati becerai jangan”.  
“Seberapo rimbun kayu di Jambi, Rimbunlah jugo kayu di Tungkal, seberapo rindu kau nan pegi, rindulah jugo kami nan tinggal”.

Di Menara Gentala Arasy, pengunjung dapat melihat jejak-jejak peninggalan budaya Islam di Provinsi Jambi.

Penyebaran agama Islam di Jambi berkembang dengan pesat pada abad ke-15 Masihi iaitu sejak munculnya Akhmad Salim atau Akhmad Barus II yang bergelar Datuk Paduko Berhalo yang dikatakan sebagai awal bertapaknya Kerajaan Melayu Islam. Antara keturunannya yang menjadi penguasa di Jambi, termasuklah Sultan Thaha Saifuddin, keturunan ke 17 dari Putri Selaro Pinang Masak dan Datuk Paduko Berhalo, yang terkenal kerana melawan penjajahan Belanda.

Muzium itu menyimpan banyak arsitektur Islam. Sejarah kedatangan Islam di Jambi dan banyak lagi koleksi peninggalan budaya Islam dipamerkan di Gentala Arasy.

Namun kita tidak boleh berlama-lama lagi di sana. Selepas itu, kami berkunjung pula ke Museum Siginjei.

Muzium Siginjei mula dibina pada 18 Februari 1981 oleh Gubernur Jambi, Bapak Masjchun Syofwan SH dan dirasmikan ada 6 Jun 1988 oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Prof Dr Fuad Hassan.

Dengan berkunjung ke Muzium Siginjei, kita dapat menyaksikan warisan budaya dan kehidupan masyarakat Jambi.Banyak koleksi sejarah dan  budaya yang boleh disaksikan di muzium yang terletak di Jalan Jenderal Urip Sumoharjo.

Kami mengambil masa yang agak lama di Museum Jambi. Tetapi hari itu hari Jumaat dan selepas itu, kami bercadang menunaikan solat di Masjid Nurdin Hamzah, salah seorang tokoh Melayu Timur yang paling terkemuka. Seorang ahli perniagaan yang berjaya dan banyak berjasa kepada Kota Jambi.

Kota  Jambi seluas 205.38 kilometer persegi  mempunyai penduduk berjumlah 610,854 orang. Kota yang dibelah oleh Sungai Batanghari itu dihubung dengan Jambatan Aur Duri adalah ibu kota Wilayah Jambi.

Menurut sejarah, Kota Jambi didirikan pada 28 Mei 1401 dan dibentuk sebagai sebuah kota madya pada 17 Mei 1946 dan diiktiraf sebagai ibu kota Provinsi Jambi pada 6 Januari 1957.

Selepas berkunjung ke Muzium dan selepas menunaikan solat Jumaat, kami ke Kompleks Muaro Jambi. Dari sana kami sempat berziarah ke Makam Nurdin Hamzah. Allahyarham Nurdin Hamzah adalah tokoh Melayu Timur, sukubangsa yang memiliki pertalian sejarah dan budaya dan generasi kelima atau keenam angkatan Iranun yang pernah berperang menentang Belanda pada 1787 di Tanjung Pinang.

Sayang sekali kami tidak dapat berkunjung ke rumah mantan Abdullah Hick, mantan Bupati Tanjung Jabung Timur di Kota Jambi.Khabarnya beliau kurang sihat. Beliaulah yang meletakkan senjata Kampilan sebagai lambang Tanjung Jabung Timur, yang kemudian mendorong kami untuk membuat kajian dan penelitian mengenai hubungan sejarah yang terjalin sejak beberapa abad antara Borneo khususnya Iranun di Tempasuk dan MelayuTimur Sumatera khususnya Riau dan Jambi.

MELIHAT CANDI MUARA JAMBI, MENYIMPAN JEJAK PERADABAN PURBAKALA

Tags
MELIHAT CANDI MUARA JAMBI, MENYIMPAN JEJAK PERADABAN PURBAKALA


Banyak tempat  kami kunjungi pada hari ketiga berada di Jambi. Roda kehidupan di kota Jambi berputar seperti biasa. Kecuali jerebu, atau di Jambi dipanggil asap, agak teruk juga hingga kami terpaksa memakai topeng.

Esok tanggal 17 Ogos, kami harus meninggalkan Jambi dengan penerbangan awal pagi. Sayang sekali kami tidak dapat menyaksikan sambutan peringatan Hari Ulang Tahun ke-74 Kemerdekaan Indonesia di Kota Jambi.Kami harap dapat menyaksikannya di Jakarta.

Antara yang dikunjungi pada hari terakhir kami di Jambi ialah Muara Jambi. Saya pernah berkunjung ke sini kira-kira tujuh tahun yang lalu. Kali ini saya menemankan rakan-rakan yang pertama kali k Jambi. Selain itu, saya ingin tahu juga, apakah banyak yang berubah.

Ternyata tidak. Kawasan candi itu seperti biasa walaupun ada beberapa tapak yang baru ditemui.

Apa yang menarik di sini? Tapak purbakala Kompleks Candi Muara Jambi ini adalah sebuah kompleks candi Agama Hindu-Buddha seluas 3,981 hektar iaitu yang terluas di Asia Tenggara. Ia terletak di Kecamatan Muaro Sebo, Kabupaten Muaro Jambi.  Ia terletak di tepi sungai Batang Hari, dan menurut ahli-ahli arkeologi, candi itu  mungkin didirikan pada abad ke 7 hingga 12 Masihi.Ia dijadikan salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO .

Kompleks Candi Muaro Jambi tidak diketahui umum sehinggalah seorang Leftenan Inggeris, SC Crooke melaporkannnya pada tahun 1824 ketika membuat pemetaan daerah aliran sungai untuk kepentingan tentera.

Kerajaan Indonesia mula melalukan pemuliharaan pada 1975, dipimpin R Soekmono. Kini terdapat sembilan candi, semuanya bercorak ditemui dan diberi nama Candi Kotamahligai, Kedaton,Gedong Satu, Gedung Dua, Gumpung, Tinggi, Telago Rajo Kembar Batu dan Candi Astano, semuanya berciri agama Buddha Sebenarnya terdapat kira-kira 110 candi, sebahagian besar masih berupa gundukan tanah yang di dalamnya terdapat struktur bata kuno.

Tapak purbakala ini seluas 12 km persegi, panjang lebih 7 kilometer dan seluas 260 hektar. Selain itu juga terdapat parit atau terusan kuno buatan manusia, tempat penampungan air dan sebagainya.
Kompleks Candi Muara Jambi adalah satu tempat yang mesti dikunjungi jika berkunjung ke Jambi. Ia lambang sebuah peradaban lampau yang pernah gemilang, malah dikatakan didirikan ketika zaman Kerajaan Sriwijaya.

Kami hanya mempunyai satu jam untuk melawat Kompleks Muara Jambi. Apalah yang dapat dicatat dalam masa sesingkat itu. Tetapi kunjungan itu amat bermakna dalam melihat ketamadunan lampau.

Sementara rakan-rakan lain meneroka rimba kota Jambi, kami meneroka Kompleks Candi Muara Jambi. Saya beritahu Pak Dodi, bahawa kami tidak boleh berlama-lama di Kompleks Candi kerana masih banyak tempat yang harus dikunjungi.

Namun kami sempat dibawa berkeliling melihat Desa Wisata Muara Jambi. Hanya mengambil foto-foto menarik. Kami tak sempat berhenti untuk menyapa penduduk di Desa Wisata itu. Semoga suatu hari nanti kami boleh berkunjung lagi ke sana.

Sepanjang Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur anjuran Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) ke Jambi itu, kami sempat berkunjung ke Museum Siginjei, Menara Gentala Aras, Makam Nurdin Hamzah dan banyak lagi yang boleh diceritakan pada minggu-minggu akan datang.

Hari sudah petang. Kami bergegas pulang ke Kota Jambi. Singgah di Rumah Makan Sederhana dan kemudian menikmati durian sebelum pulang ke hotel, bersiap-siap kerana awal pagi keesokan harinya, kami akan melanjutkan perjalanan ke Jakarta.


ZIARAH KE TANJUNG JABUNG TIMUR BESAR MAKNANYA

Tags
ZIARAH KE TANJUNG JABUNG TIMUR BESAR MAKNANYA


Ketika cahaya pagi tiba di Tempoa Inn, Jalan Pasar Hong Kong, sebuah hotel yang terletak di tengah kota Jambi, kami sudah bersiap-siap untuk ke Tanjung Jabung Timur.

Hari itu hari kedua kami berada di Jambi. Semalam, sebaik tiba di Bandara Sultan Thaha (Bandara adalah singkatan untuk bandar udara, istilah yang digunakan untuk Lapangan Terbang) , kami minta dihantar ke Tempoa Inn, hotel yang sudah ditempah lebih awal.Kebetulan saya kenal pemiliknya, seorang pengusaha yang suka melukis.

Hotel itu sendiri terletak agak strategik, sering menjadi lokasi golongan sasterawan dan seniman untuk mengadakan kegiatan dan sentiasa meriah di malam hari kerana menjadi tempat yang popular di kalangan generasi milenial untuk berkumpul, diskusi, main catur atau menikmati kopi.

Selepas menikmati sarapan, kira-kira jam 9.30 pagi kami berangkat ke Muara Sabak. Jarak antara Kota Jambi dengan Muara Sabak adalah antara dua hingga tiga jam perjalanan, bergantung keadaan jalan raya dan cuaca.

Selain bas mini,  Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propinsi Jambi juga menyediakan sebuah lagi kenderaan dan seorang pegawai pengiring, iaitu Pak Dodi.  Rombongan 12 orang tokoh Iranun dari Sabah diketuai Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI), Haji Masrin Haji Hassin dijadualkan tiba kira-kira jam 12.00 di Muara Sabak dan terus diraikan dalam jamuan makan tengahari di Rumah Dinas Bupati.

Ada di antara rombongan kami, memang membawa pakaian tradisi. Kami harus berhenti di tengah perjalanan untuk berganti pakaian tetapi kemudian Ibu Ice memberitahu, kami tidak perlu risau kerana ada bilik yang disediakan di rumah Dinas Bupati sebelum kami melanjutkan perjalanan ke Kecamatan Kuala Jambi, dimana acara sambutan akan diadakan di sana.

 Selain Pak Eri Argawan dari Dinas Budaya dan Pariwisata Propinsi Jambi, ikut bersama kami dalam program Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur ialah Pak Harkopolo Lie sendiri. Juga wartawan senior,  Pak Sakti Alam Watir. Beliau juga meminta saya menulis Press Release mengenai program Ziarah Budaya Iranun Melayu Timur itu untuk dihantar ke beberapa media cetak dan media online di Jambi.

Sepanjang jalan itu saya menulis laporan media dan  mujurlah sebaik tiba di Muara Sabak, laporan itu sudah siap ditulis.

Kami agak teruja kerana Pak H Romi Haiyanto, Bupati Tanjung Jabung Timur sendiri yang menyambut ketibaan kami. Sebelumnya, saya diberitahu pak Romi tak dapat hadir kerana agak sibuk dengan persediaan sambutan Perayaan Hari Ulang Tahun (HUT) ke 74 Kemerdekaan Republik Indonesia.

Kehadiran beliau besar ertinya buat kami. Pak Romi sendiri memberitahu beliau juga agak teruja dengan kunjungan kami ke Tanjung Jabung Timur dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara sukubangsa Iranun di Sabah dengan kerabat mereka, suku Melayu Timur di Riau dan Jambi. Menurut sejarah,Suku Melayu Timur adalah keturunan angkatan Iranun yang berperang melawan Belanda di Tanjung Pinang pada Mei 1787.

Hadir sama ialah Setiausaha Sekretariat Adat Melayu Tanjung Jabung Timur, Ahmad Suwandi.

Selepas makan tengahari, kami ke Kecamatan Kuala Jambi. Di sana, rombongan kami disambut dengan tarian tradisi Melayu Jambi yang dipersembahkan oleh kumpulan penari yang terdiri dari gadis-gadis kecil. Kami sempat menyaksikan persembahan tarian mereka mengagumkan sebelum kami diraikan dalam majlis sambutan diketuai Camat Kuala Jambi, Pak Taufiq Kurniawan.

Beliau mengalu-alukan kunjungan rombongan ke Bumi Sepucuk Nipah Serumpun Nibung itu.

Dalam majlis itu, BKI diwakili oleh Haji Jupry Haji Abd Razak. Beliau melahirkan rasa terharu atas sambutan yang diberikan dan berharap program itu akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara Iranun dan Melayu Timur yang memiliki hubungan darah dan sejarah yang panjang.


Menurut sejarah, Sultan Mahmud III melalui utusannya bernama Talib pernah meminta bantuan dari Raja Iranun Tempasuk untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada 1786.

Pada Mei 1787, sejumlah 30 kapal penjajab dengan kira kira 1,000 arang dari angkatan perang Iranun Tempasuk berjaya mengalahkan  Belanda dTanjung Pinang menyebabkan mereka terpaksa berundur ke Singapura.

Kemudian Sultan Mahmud III memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga kerana khuatir serangan balas Belanda

Menurut kitab Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji, selepas peristiwa itu, angkatan Tempasuk memohon diri untuk pulang tetapi sebahagian lagi ikut berpindah ke Reteh,Ayer Hitam, Kuala Enok, Kuala Tungkal serta Muara Sabak.


Salah seorang tokoh pahlawan di Reteh yang terkenal iaitu Panglima Besar Sulong adalah keturunan Iranun iaitu hasil perkahwinan Tok Lukus dengan Raja Maimunah Puteri Sultan Yahya Siak.

Selepas beberapa generasi, generasi Iranun di Riau dan Sumatera kemudian dikenali sebagai suku Melayutimur.

Antara bukti bukti yang menunjukkan keterkaitan antara Iranun dan suku melayutimur ialah alat senjata seperti kampilan, sundang, tabas dan sebagainya.

Selain itu, adat resam seperti mandi air laut,makan di kelong dan sebagainya.
Dari segi kosakata Iranun yang terdapat dalam bahasa melayutimur seperti degan (banjir) busau ( pelahap) tonong, pamanai ( bendera kecil) apu ( nenek) baie ( puteri) pingkak (cacat kaki), kumpai, gapus  dan sebagainya.

Inilah antara fakta sejarah dan budaya yang boleh mengaitkan Iranun di Sabah Malaysia dan Mindanao di selatan filipina.

Beliau juga berharap hubungan bilateral antara rakyat di kedua buah negara yang memberikan manfaat dari segi budaya dan juga ekonomi.

Program ziarah itu amat baik dalam mengukuhkan ikatan silaturrahim antara masyarakat Iranun dan Melayu Timur yang terpisah lebih 200 tahun iaitu ketika era penjajah Belanda lagi.

Selepas majlis sambutan di Kuala Jambi, kami ke Desa Teluk Majelis untuk menziarahi makam seorang pendakwah terkenal.
Dari kawasan permakaman, kami dijamu diruamh pemimpin kampung sebelum berangkat meninggalkan kampung Teluk Majelis.

Di Teluk Majelis saya sempat bertemu, walaupun sebentar cuma dengan Raja Yanto, orang yang paling banyak membantu menghubungkan saya dengan tokoh-tokoh Melayu Timur di Tanjung Jabung.

Kami rasa besar hati untuk bermalam di kampung Laut tapi kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan kami terpaksa pulang ke Kota Jambi. Namun Ziarah ke Tanjung Jabung Timur amatlah besar ertinya dalam hubungan sejarah dan budaya Iranun-Melayu Timur.



SEKADAR TRANSIT DI BANDAR SERI BEGAWAN

Tags
SEKADAR TRANSIT DI BANDAR SERI BEGAWAN

Penerbangan Royal Brunei BI 6822 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan pada jam 12.35 tengahari selepas berada di atas udara kira-kira 45 minit dari Kota Kinabalu pada Selasa 13 Ogos.

Kami sedang dalam perjalanan ke Bandara Soekarno Hatta di Cengkareng sebelum terbang lagi ke Lapangan Terbang Sultan Thaha Jambi. Tidak ada pilihan lain. Kami terpaksa bermalam di Brunei sebelum melanjutkan penerbangan keesokan harinya.

Sepupu saya, Wivita sudah menunggu di balai ketibaan. Selepas bertanya khabar, beliau menghantar kami ke Qing Yun Resthouse berdekatan Mall Gadong. Namun setibanya di sana, pekerja hotel memberitahu, ada lagi sebuah rumah penginapan Qing Yun yang terletak berdekatan lapangan terbang.

Letaknya tidak jauh dari Bangunan Times Square. Selepas bertanya ke sana sini, akhirnya kami menemui Qing Yun Resthouse, yang terletak di Bangunan Haji  Munchit.

Sewa hotelnya agak murah iaitu 45 Dolar Brunei atau kira-kira RM136.00. Memadailah untuk sekadar transit. Selain itu kami juga meminta untuk dihantar ke lapangan terbang dengan bayaran 5 Dolar Brunei atau RM15.00. Berbanding jika menaiki teksi, yang mengenakan bayaran sekitar 15 Dolar Brunei atau RM45.00.

Selepas check in, kami mencari makanan untuk mengalas perut. Tidak berapa jauh di sana, ada Restoran Feyza, yang menawarkan pelbagai jenis makanan.

Dari Restoran Feyza, kami sempat ke Times Square untuk mencari tempat untuk menukar wang.

Negara Brunei Darussalam kini semakin meningkat maju. Negara berpenduduk kira-kira 428,697 (2017) mendapatkan kemerdekaan pada 1 Januari 1984. Negara terkaya di dunia itu mempunyai keluasan sebesar 5,765 km persegi dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Pendapatan perkapita rakyatnya ialah USD79,700 manakala hasil utamanya adalah minyak dan gas.

Banyak perkara menarik sepanjang pengalaman berada di bandar Seri Begawan, iaitu ibu kota negara Brunei Darussalam.

Bagaimanapun, suratkhabar Media Permata, akhbar terkemuka di negara itu melaporkan kualiti udara Miri berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 342 setakat jam 3 petang pada 12 Ogos.

Selain laporan ibadah korban serikan Aidil Adha, tajuk utama akhbar berkaitan denhan tunjuk perasaan pro demokrasi yang membanjiri lapangan terbang Hong Kong menyebabkan sekurang-kurangnya 150 penerbangan  keluar dan masuk ke Hong Kong melibatkan kira-kira 200,000 penumpang dibatalkan pada  hari itu.

Sebenarnya saya tidak memberitahu rakan-rakan di Brunei bahawa kami akan transit di negara itu. Kami iaitu Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), Haji Masrin Haji Hassin, dan AJK BKI, Mabulmaddin Haji Shaiddin yang juga seorang penyair dan pengkaji budaya dan saya sendiri sedang dalam perjalanan untuk mengikuti program Ziarah Budaya Iranun-Melayu Timur di Tanjung Jabung Timur pada 14 hingga 17 Ogos.

Kami mengambil kesempatan untuk menghubungi seorang penyair, seorang pencinta budaya, yang menghasilkan beberapa buku mengenai Syair Pendek, atau Syapen, satu genre baru dalam dunia syair.

Kalangan sastera dan budaya mengenalinya sebagai Pehin Ibnu Raheem, manakala saya biasa menyapanya sebagai Ayahanda Pehin. Seorang yang bersahaja dan sederhana walaupun, kami ketahui kemudiannya bahawa beliau adalah salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negara .

Pertemuan dengan Ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei,Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abd. Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim sangatlah mengujakan. Beliau mengajak kami makan malam di salah sebuah restoran terkemuka di Bandar Seri Begawan.

Saya sempat bertanya kepada beliau bagaimana mulanya beliau terlibat dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Menurut ceritanya, beliau menulis sejak menuntut di Kolej Islam Kelang pada akhir tahun 60-an lagi.

Ada kisah menarik yang menyebabkan beliau memilih syair berbanding puisi kerana ada sebuah tragedi yang dialaminya ketika menghasilkan sajak. Karya-karyanya disalahfahami oleh peminat menyebabkan beliau memilih syair.

Selain itu, beliau juga menceritakan pengalaman ketka peristiwa 13 Mei 1969, yang beliau saksikan dengan matanya sendiri.

Memang agak menyeronokkan mendengar kisah lama. Selepas iu beliau membawa kami melihat salah satu projek Julangan Titah iaitu  Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Saya agak tertarik dengan kuih yang disebut kuih malaya. Rupanya kuih malaya yang dimaksudkan itu ialah apam balik atau juga dikenali sebagai kuih terang bulan.

Kesudian dan kebaikan hari Ayahanda Pehin Haji Ghani  dan isterinya, Datin Hajah Jaliha Haji Bujang akan tetap jadi kenangan. Ia menjadi satu pengalaman manis ketika berada di Brunei.

Keesokan harinya, saya sempat menghubungi seorang sahabat lama. Kami sudah lama tidak berjumpa kira-kira 20 tahun. Pertemuan terakhir kami ialah di Pulau Manukan ketika beliau masih menjadi mahasiswa di Universiti Brunei Darussalam. Kebetulan beliau satu kelas dengan sepupu saya, Ahmad Musthah Maning. Dari Ahmad Musthahlah saya memperolehi nombor handphonenya.

Beliau mengajak kami bersarapan dan mempelawa untuk menghantar kami ke lapangan terbang. Pucuk dicita ulam mendatang. Saya sendiri agak teruja kerana lama tidak bersua. Di sebalik kesibukannya sebagai Pemangku Pegawai Kastam dan Eksais Diraja, Awang Muhsin Haji Ahmad menyempatkan diri untuk bertemu.

Terima kasih banyak. Ia menjadi kenang-kenangan sebelum kami melanjutkan penerbangan ke Jakarta.